29 tauke stesen minyak sudah kena tindakan

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil tindakan ke atas 29 pengusaha stesen minyak di seluruh negara kerana menjual petrol RON 95 kepada kenderaan asing.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya Azman Adam berkata, kes tertinggi direkodkan di Johor iaitu sebanyak 10 kes, Kelantan (lapan), Kedah (lima), Sarawak (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Melaka.

Katanya, KPDNHEP menerima sebanyak 52 aduan mengenai kes penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing sejak awal tahun ini hingga semalam.



“Daripada pemeriksaan dan siasatan dibuat, sebanyak 29 kes berjaya dihasilkan di seluruh negara.

“Antara kesalahan dikesan dilakukan pengusaha stesen minyak itu adalah pelanggaran di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata demikian mengulas dakwaan bahawa KPDNHEP gagal mengambil tindakan ke atas pengusaha stesen minyak yang menjual petrol RON 95 dan diesel kepada kenderaan asing.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pengusaha stesen minyak dilarang untuk menjual minyak bersubsidi itu kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing.



“Kita tidak berdiam diri, sebaliknya pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan bahan bakar itu tidak dijual sewenang-wenangnya kepada kenderaan asing selepas pembukaan penuh sektor ekonomi dan pintu sempadan negara sejak April lalu.

“Bagi memastikan tiada ketirisan penjualan petrol RON95 dan diesel, KPDNHEP mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua kenderaan asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi bahan bakar itu,” katanya.

Menurutnya, pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala RM3 juta jika melakukan kesalahan berikutnya.

Katanya, orang perseorangan yang didapati bersalah menjual petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan asing juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.



“KPDNHEP tidak akan berkompromi dan semua pihak terutama pengusaha stesen minyak diminta sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button