Bung Moktar dan isteri fail semakan jenayah, perbicaraan ditangguhkan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menangguhkan keterangan bela diri bagi pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen hari ini sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.

Bung Moktar dan Zizie memfailkan permohonan secara berasingan Isnin lalu antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.



Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang diumumkan pada 2 September lalu.

Kedua-dua pemohon menyatakan, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

Dalam notis usulnya, Zizie memohon Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Hakim Rozina Ayob menetapkan keterangan bela diri kedua-duanya didengar pada satu tarikh yang akan dijadual semula dan menetapkan Isnin ini bagi sebutan kes untuk mengetahui perkembangan permohonan semakan.



Terdahulu, di hadapan Hakim Collin, peguam M. Athimulan memohon perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu permohonan semakan didengar dan diputuskan.

Ujar peguam bela, anak guamnya Zizie memfailkan permohonan tersebut Isnin lalu dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Bung Moktar turut memfailkan permohonan serupa manakjala pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ditetapkan pada Isnin ini.

Ujar Athimulan, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan rasmi agar kedua-dua notis usul disatukan dan didengar di hadapan seorang hakim.



“Kami tidak tahu sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan atau afidavit berkaitan permohonan semakan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan bantahan selepas memperoleh perintah penyatuan daripada mahkamah.

“Kami tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan perbicaraan namun ia tertakluk kepada hakim Mahkamah Sesyen,” ujarnya.

Hari ini, Zizie dijadual membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dengan suaminya menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.



Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan kedua-duanya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.



Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button