De Bruyne bantu Belgium atasi Wales 2-1

BRUSSELS: Kevin De Bruyne meledak satu gol dan membantu satu lagi ketika Belgium menewaskan Wales 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Kemenangan itu terus menghidupkan peluang tipis Red Devils mara ke separuh akhir selepas hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Liga A Kumpulan 4, Belanda.

Sebelum perlawanan De Bruyne mendakwa dia sudah bosan berdepan Wales di pentas antarabangsa, tetapi Belgium hanya menang dua daripada lapan perlawanan di antara mereka dalam tempoh 10 tahun sebelum ini.

Wales menewaskan Belgium di suku akhir Euro 2016, tetapi gagal mengulangi kejayaan itu dengan pelawat turun tanpa skuad terbaik mereka.



Gareth Bale bermula di bangku simpanan dengan pengendali, Rob Page mengutamakan kecergasannya bintang utama Wales itu menjelang Piala Dunia dua bulan lagi.

Aaron Ramsey dan Ben Davies juga tidak beraksi akibat kecederaan.

Belgium turut kehilangan tonggak mereka, Romelu Lukaku dan tempat penyerang Inter Milan itu diisi Michy Batshuayi.

Batshuayi meneruskan rentak cemerlangnya dengan mengumpan bola untuk gol pembukaan De Bruyne pada minit ke-10.



De Bruyne kemudian membantu Batshuayi menjaringkan gol lapan minit sebelum rehat – gol antarabangsa ke-26 pemain itu dalam 46 penampilan.

Wales tidak mengalah dan merapatkan jurang menerusi Kieffer Moore lima minit selepas babak kedua bersambung.

Wales masuk menggantikan Moore ketika permainan berbaki 25 minit, tetapi bintang LA Galaxy itu sekadar mengutip kad kuning kerana membantah sepakan penalti yang kemudian dibatalkan VAR.

Pengendali Belgium, Roberto Martinez dilayangkan kad merah kerana cuba melambatkan permainan.

Pasukan di ranking kedua dunia itu perlu menang dengan jurang tiga gol ke atas Belanda di Amsterdam Ahad ini untuk mara ke pusingan empat terakhir.

Wales pula perlu menewaskan Poland di Cardiff pada perlawanan terakhir untuk mengelak tercicir ke Liga B musim depan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker