JKMM berjaya beri manfaat kepada rakyat B40

Kuala Terengganu: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) merekod nilai jualan lebih RM25.8 juta sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1.04 juta pengunjung sejak ia dilaksanakan pertengahan Ogos tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, JMKM yang menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus adalah usaha kerajaan membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, agensi pelaksana JMKM iaitu KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bekerjasama sebaik mungkin bagi memastikan matlamat membantu golongan sasar tercapai.

“Kesemua pihak yang diberi peluang melaksanakan program ini melaksanakannya dengan baik, cuma ada sedikit masalah pelaksanaan JMKM di Pulau Pinang tetapi di negeri-negeri lain, Alhamdulillah, laporan yang kita terima adalah menggalakkan.



“KPDNHEP sudah melaksanakan JMKM di hampir 100 peratus lokasi yang dipertanggungjawabkan dan ini memberi peluang kepada rakyat terutama golongan B40 mendapatkan bekalan barangan keperluan pada harga murah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program JMKM di Kampung Beladau Kepong, di sini, hari ini.

Mengulas isu membabitkan pelaksanaan program JMKM di Pulau Pinang, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pimpinan di negeri berkenaan mahu ia diadakan dalam bentuk ekspo.

“Kita mohon supaya mengadakan program sebegini seragam (konsep sedia ada) ertinya kenal pasti satu kedai kemudian kita beri bantuan kepada kedai berkenaan untuk kita buat bantuan JMKM, tetapi mereka mahu dalam bentuk ekspo.



“Pada kita, ia tidak menggambarkan hasrat sebenar kerana ekspo ini akan membabitkan kos untuk pasang khemah, utiliti, pengangkutan dan sebagainya tetapi kalau di premis, senang kita pantau dan lebih jimat.

“Kita sudah bincang di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan mereka bersetuju untuk ikut cara kita,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker