Lima orang pelajar tidak hadir konvokesyen kerana kemalangan

KUALA LUMPUR – Hasrat lima orang pelajar wanita untuk menghadiri istiadat konvokesyen di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam berakhir dengan tragedi apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 396, Lebuh Raya Utara Selatan hari ini.

Salah seorang daripada mangsa cedera parah manakala empat lagi rakannya mengalami kecederaan ringan dalam insiden di mana pemandu kereta terbabit telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut pada jam 5.35 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu sepasukan anggota dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Tanjung Malim terdiri daripada 12 anggota bergegas ke lokasi kemalangan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki oleh lima orang perempuan warga tempatan berusia 21 tahun.

“Kelima-lima mangsa sedang dalam perjalanan untuk menghadiri istiadat konvokesyen UiTM Shah Alam hari ini sebelum kereta yang dinaiki mereka telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di lebuh raya tersebut,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Tambah Norazam, akibat daripada perlanggaran itu, seorang mangsa telah tersepit di bahagian hadapan kereta dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian telah dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas dengan memotong kenderaan yang remuk teruk manakala empat lagi pelajar mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Slim River menggunakan ambulans,” tegasnya.

© Malaysia Gazette 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker