Majlis Getah Malaysia bakal hasilkan belon aeroangkasa pertama di dunia

KUALA LUMPUR – Majlis Getah Malaysia (MRC) menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara syarikat milik anak Malaysia dengan Cranfield University dan Levidian Nanosystem Ltd di Bedford, United Kingdom, yang merintis aplikasi dalam pembuatan belon aeroangkasa yang pertama seumpamanya di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad, berkata buat julung kali, teknologi yang diguna pakai ini berjaya menukar gas metana berbahaya kepada graphene yang lebih mesra alam dan apabila digabungkan dengan getah asli, bahan yang terhasil terbukti lebih mampan dan tahan lasak.

“Kerjasama ini secara tidak langsung telah mendorong kepada perkembangan kemajuan teknologi getah agar penerapan inovasi dapat diguna pakai bagi mentakrifkan semula masa depan aplikasi getah.



“Langkah pertama yang kecil bagi MRC untuk meningkatkan nilai getah Malaysia ini diharap memberi kesan rantaian untuk pekebun kecil getah kita mendapat nilai lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai lawatan khas ke Pusat Komposit dan Bahan Termaju di Universiti Cranfield yang diketuai oleh Prof Krzysztof Koziol.

Nor Hizwan berkata, Malaysia selaku negara peneraju dalam teknologi getah bakal memperoleh hasil keuntungan melalui pengkomersialan produk getah berprestasi tinggi di samping membuka pasaran baharu serta meningkatkan lagi rantaian nilai global industri getah Malaysia.

“Dengan kekayaan sumber getah yang dimiliki, kita akan lebih progresif menuju ke arah kemajuan tanpa had, dari perladangan sehinggalah ke aeroangkasa.



“Manusia telah lama meneroka segenap pelosok bumi dan kini tiba masanya industri getah bergerak melangkaui sempadan.

“Menerusi pembangunan bahan getah bersifat kontemporari yang diformulasikan melalui penyerapan graphene dan lateks, pengaplikasian dapat dijalankan secara menyeluruh kepada industri yang membabitkan sumber bumi serta persekitaran aeroangkasa,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Julai lalu merasmikan inisiatif ini di Sidang Kemuncak & Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 serta menerima sokongan padu daripada Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.

Pada 15 September yang lalu, MRC telah menganjurkan Sesi Perundingan Industri 2022 yang membabitkan peserta industri dari pelbagai bidang.



Program ini adalah acara tahunan yang mana peserta berpeluang untuk memberi maklum balas dan cadangan secara langsung berkenaan program serta hala tuju MRC dalam menyokong industri getah negara.

Dalam pada itu, MRC bakal menyertai EVM Asia Expo 2022, pameran kenderaan elektrik nombor satu di rantau ini, anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan disokong oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) 27 d29 September 2022 di MITEC, Kuala Lumpur.

Acara ini bakal membawa peserta-peserta industri dalam bidang pembuatan kenderaan elektrik, hibrid dan autonomi di bawah satu bumbung yang juga akan memperlihatkan masa depan teknologi mobiliti kepada pengunjung.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button