Masyarakat kita dan isu dera

Dua kes dera agak tragis dilaporkan berlaku pada minggu lalu. Lebih malang mangsa itu adalah kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun.

Lebih memilukan, jeritan meminta tolong seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang terperangkap pada belebas tingkap di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang ketika cuba melarikan diri berjaya menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa dera.

Mangsa dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dikatakan cuba melarikan diri dengan keluar daripada tingkap bilik berkenaan.



Mangsa yang disyaki didera berdasarkan kesan cedera pada tubuh badannya berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Turut ditemui adik perempuan mangsa berusia enam tahun yang mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan dipercayai akibat penderaan.

Susulan itu, polis telah mereman tujuh hari terhadap ibu dan ayah saudara dua beradik itu untuk tindakan lanjut.

Pada keesokan harinya, sekali lagi kes dera dilaporkan iaitu seorang ibu berusia 36 tahun yang direman seminggu bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes dera melibatkan anak lelakinya yang berusia lapan tahun dalam kejadian di sebuah rumah Kota Bharu, Kelantan.



Kes ini turut gempar dengan kritikan netizen selepas tular satu video berdurasi 26 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan seorang wanita memukul anak lelakinya dengan menggunakan meja kayu sehingga kanak-kanak itu menangis.

Berdasarkan dua kes ini, adalah satu yang menyedihkan apabila perbuatan itu dilakukan oleh individu yang dipercayai mangsa.

Media tempatan telah banyak melaporkan kes penderaan babitkan mangsa kanak-kanak terutamanya, namun melihat kes yang berlaku hari ini, ia ibarat tidak diambil iktibar.

Malah kes dera masih berlaku biar pun secara logiknya pelaku itu tahu dan sedar tindakan ‘kejam’ mereka.



Bagi kes sebegini, sudah tentu polis akan menjalankan siasatan segenap sudut untuk membongkar kebenaran dalam menyelesaikan kes.

Harus diingat, adalah amat malang kepada kanak-kanak iaitu mangsa kes dera ini kerana ia boleh mendorong perlakuan yang akan diulangi apabila mereka dewasa kelak.

Tidak mustahil juga trauma akan membelenggu diri mereka.

© Sinar Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button