Rakyat Mahukan Servis, Bukan Kata-kata Nista Dan Propaganda
KUALA LUMPUR – Suasana politik pada hari ini memberikan gambaran bahawa apa yang diinginkan oleh rakyat ialah servis daripada kerajaan yang mentadbir, bukan kata-kata nista dan propaganda berterusan sebagaimana yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH).
EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, PH dari sudut dasarnya telah longgar kerana tujuan utama mereka dalam politik ialah untuk menumbangkan kerajaan namun tidak pernah memikirkan bagaimana untuk mentadbir serta memakmurkan negara.
“PH memang aim dari dulu lagi untuk menumbangkan kerajaan, tetapi tidak pernah ada dalam minda mereka bagaimana nak mentadbir dan memakmurkan negara yang kita ada ini.
“Rakyat hari ini mahu bebas daripada ahli politik yang hanya pandai berpropaganda dan hanya mempunyai fikiran cetek untuk menjatuhkan sebuah kerajaan semata-mata, tetapi, rakyat mahukan kerajaan dan parti politik yang benar-benar ikhlas untuk membangunkan masyarakat dan negara,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Farhan, keterasingan kuasa perlu praktikkan dan tidak seharusnya menjadi wahana politik semata-mata seperti yang dibawa oleh PH semasa pentadbiran kerajaan 22 bulan.
“Sebab itu kalau kita nak cakap pasal pendakwaan terpilih, bagaimana PH melantik Tommy Thomas, seorang peguam Chin Peng dan juga peguam kepada mantan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng menjadi Peguam Negara. Bagaimana mereka melantik Latheefa Koya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi PKR sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Itu sudah memberi gambaran apa yang mereka katakan soal keadilan dan itu tidak berlaku dalam pentadbiran mereka.
“Saya yakin rakyat akan sentiasa ingat serta sentiasa menjadikan itu sebagai pengajaran dan pedoman untuk kita kembalikan negara kita ini ke atas landasan yang sepatutnya, sepertimana yang kita ada selama ini. Separation of power adalah perkara yang perlu dipraktikkan bukan hanya untuk dijadikan sebagai bahan atau wahana politik semata-mata,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Farhan turut berharap agar rakyat khususnya anak muda memberikan semula mandat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk membetulkan segala kesilapan dan membangunkan negara.
“Kepada rakan-rakan saya anak muda di luar sana, lihatlah suasana dan semangat jentera BN khususnya Pemuda UMNO/BN, kita bertekad untuk memperbetulkan kesilapan yang telah kita lakukan selama ini. Ramai daripada kita pada hari ini adalah mereka yang pernah mengundi PH.
“Tekad kita kali ini ialah kita nak berikan yang terbaik kepada rakyat. UMNO/BN telah berubah, sedang berubah dan akan terus berubah demi rakyat Malaysia. Jadi berikanlah sokongan dan mandat anda kepada UMNO/BN kerana ini adalah harapan baharu dari generasi muda seperti kami,” katanya lagi.
UMNO Online