Zahid hargai media beri laporan seimbang kes mahkamahnya

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penghargaan kepada media yang selama ini memberikan liputan terhadap kes rasuah dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Presiden UMNO itu berterima kasih susulan sikap pengamal media yang bertindak profesional dalam setiap pelaporan berita yang disifatkannya sangat seimbang.

“Terima kasih kepada wartawan-wartawan yang telah memberikan laporan yang sangat seimbang dan profesional.

“Saya berharap selepas ini laporan itu lebih seimbang lagi pada masa akan datang, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Yazid Mustafa melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah dihadapinya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan lain mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Tidak cukup dengan kes di Mahkamah Tinggi di sini, beliau juga sedang menjalani perbicaraan bela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

© Utusan Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker