Dua bekas YDP Majlis Daerah didakwa terima suapan

Shah Alam: Dua bekas Yang Dipertua Majlis Daerah (YDP) Hulu Selangor dan Kuala Langat termasuk seorang bekas Timbalan YDP Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menerima rasuah wang, tiket kapal terbang, basikal mahal, wang untuk membeli kereta, telefon pintar iPhone untuk isteri dan teman wanita.

Salah seorang tertuduh, Shukri Mohamad Hamin, 49, berdepan empat pertuduhan menerima sogokan antara 28 Februari 2020 hingga 22 Mei 2021 ketika menjadi pegawai daerah Gombak dan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Tertuduh didakwa di hadapan hakim, Rozilah Salleh menerima tiket kapal terbang bernilai RM13,200 untuk isterinya, wang deposit RM30,000 bagi membeli kereta Honda Civic, kereta Toyota Corolla bernilai RM7,711 dan pembayaran barangan ubah suai rumah bernilai RM11,229.50.

Semua suapan itu didakwa diterima daripada Azizul Ab Majid yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi Shukri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Daerah Hulu Selangor Dan Pengerusi Jawatankuasa Sebutharga Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan dan hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.

Di mahkamah sama, seorang lagi bekas YDP Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid, 48, didakwa atas enam pertuduhan rasuah yang didakwa berlaku antara 24 Julai 2019 hingga 15 Januari 2021 ketika tertuduh memegang jawatan berkenaan.

Tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk tiket kapal terbang, dua unit iPhone XS masing-masing untuk isteri serta teman wanitanya dan dua basikal keseluruhannya bernilai RM18,070.

Barangan itu juga diterima daripada Azizul sebagai balasan untuk membantu syarikat bawah seliannya mendapat sebut harga dan inden di MPKL, menurut kertas pertuduhan.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan bekas Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang, Muhammad Hafiz Shaari, 43, berdepan enam pertuduhan didakwa dilakukannya antara 12 November 2020 hingga 26 Jun 2021 ketika menyandang jawatan itu.

Tertuduh didakwa menerima pelbagai jenis barangan, juga daripada Azizul. Antara barangan diterimanya adalah penghawa dingin, basikal, iPhone 12 Pro, upah pemasangan sengkuap rumah dan Samsung Smart TV yang keseluruhannya berharga RM15,131.

Tertuduh didakwa menerima barangan berharga itu daripada Azizul Ab Majid yang mengetahui tugas rasmi tertuduh sebagai Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang.

Dia yang berhadapan enam pertuduhan tidak mengaku bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000.

Dalam pada itu, seorang juruukur bahan MDKL Muhammad Asyraf Mohammad Jasni, 33, pula didakwa atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM51,100 daripada Azizul antara 24 Disember 2019 hingga 6 November 2020.

Tertuduh turut tidak mengaku salah atas empat pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Rasyidah Murni Adzmi, Natrah Fareha Rahmat dan Mohd ‘Afif Ali. Tertuduh kecuali Shukri diwakili peguam Amir Aizat.

Rozilah menetapkan 26 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker