Bapa bimbang anak perempuan 14 tahun hilangkan diri

Oleh – Syeikh Baran


Bapa bimbang anak perempuan 14 tahun hilangkan diri
Sofan Feroza menunjukkan gambar Sofea Auni Adilah yang hilang sejak dua hari lepas ketika ditemui di Sungai Petani, hari ini.

Seorang bapa merayu agar anak perempuannya berusia 14 tahun yang menghilangkan diri sejak dua hari lepas agar pulang segera ke pangkuan keluarga.

Menurut Sofan Feroza Mat Yusop, 45, dia amat bimbang dengan keselamatan Sofea Auni Adilah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Katanya, anaknya keluar dari rumah bekas isterinya di Bandar Amanjaya, Sungai Lalang, di sini kira-kira pukul 8.30 malam, Selasa lalu.

“Anak saya itu dihantar tinggal bersama ibunya, Hasmawati Derani, 46, untuk menghabiskan cuti persekolahan dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku pelik, mahupun berada dalam masalah.

“Kami sekeluarga baru sahaja pulang bercuti di Thailand dan menyambut ulang tahun kelahirannya beberapa hari sebelum dia hilang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ujarnya, dia menerima panggilan telefon daripada bekas isterinya kira-kira pukul 8.50 malam memaklumkan anak mereka tiada di rumah selepas pulang dari bandar Sungai Petani pada hari kejadian.

“Saya kemudian bergegas ke Sungai Petani dari Alor Setar bagi membantu bekas isteri mencari anak di merata tempat, namun gagal menemuinya.

“Panggilan yang dibuat ke telefon milik neneknya yang digunakan Sofea tidak berjawab menyebabkan saya meminta bekas isteri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada pukul 2 pagi kerana bimbang keselamatannya,” jelasnya.

Katanya, dia hilang selera makan dan tidak dapat tidur lena sejak kehilangan anaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Convents Alor Setar itu.

Dia meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau ternampak Sofea Auni Adilah boleh menghubunginya di talian 019-5007303.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker