KPT giat jadikan Malaysia Hab Pendidikan Tinggi Antarabangsa

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkongsi idea dan pandangan mengenai hala tuju pendidikan negara dalam majlis Networking Session With The Lady Heads of Malaysia, di Hotel Zenith, Putrajaya, hari ini.

Oleh Azrin Muhammad

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang giat melipatgandakan usaha sedia ada untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Tinggi Antarabangsa menjelang tahun 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, universiti tempatan perlu mewujud serta melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menawarkan program luar persisir termasuk mencapai memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkepentingan.

“Kementerian percaya bahawa pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan daya saing yang merupakan pemacu kualiti yang penting dalam kalangan graduan.

“KPT juga menyasarkan sistem pendidikan Malaysia memenuhi permintaan pasaran pekerjaan dan masyarakat,” katanya ketika berucap dalam majlis Networking Session With The Lady Heads of Malaysia, di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Roziah Mohd Janor dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof. Dr. Massila Kamalrudin.

Setakat ini, Noraini telah menjadi saksi kepada 12 MoU dan satu memorandum perjanjian (MoA) dengan institut pengajian tinggi (IPT) luar negara seperti di India, Qatar, United Kingdom dan Turkiye.

Menerusi perjanjian tersebut, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membuka sebuah kampus cawangan di Doha, Qatar pada tahun 2025, sekali gus menjadikannya sebagai Universiti Awam (UA) pertama mempunyai kampus di luar negara.

Sementara itu, Noraini berkata, perkongsian itu bertujuan memudahkan aktiviti penyelidikan dan inovasi kolaboratif, program mobiliti pelajar dan kakitangan serta penganjuran seminar.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker