Pahang raih emas berganda hoki SUKMA

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki dan wanita Pahang mendominasi aksi final selepas menewaskan lawan masing-masing bagi membawa pulang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Skuad lelaki Tok Gajah cemerlang apabila berjaya menewaskan Johor 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan menerusi Muhammad Idris Samad pada minit akhir permainan memastikan emas menjadi milik Pahang sekali gus meranapkan impian Johor bagi bergelar juara.

Kemenangan itu menyaksikan skuad lelaki Pahang menamatkan kemarau 26 tahun untuk meraih emas selepas kali terakhir memenanginya ketika negeri itu menjadi tuan rumah pada edisi 1996.



Lebih manis, pencapaian kali ini menyaksikan Pahang menebus kekecewaan empat tahun lalu apabila terpaksa berpuas hati dengan meraih perak selepas tewas kepada Sabah menerusi penalti shoo-out 2-3 pada aksi final edisi 2018 di Perak.

Pingat gangsa hoki lelaki pada temasya kali ini diraih Perak selepas pasukan terbabit menewaskan Terengganu 7-4.

Terdahulu, skuad hoki wanita Pahang menamatkan kemarau selama 14 tahun selepas muncul juara menerusi kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Selangor.

Pada aksi itu, Pahang terlebih dahulu di depan menerusi gol padang Nur Atiqah Najwa Sutimi pada minit ke-25 sebelum Selangor menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nur Irdina Asnida Mohd Yusmi minit ke-53.



Wan Norfatihah Md Saiuti muncul wira Pahang apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi gol padang pada minit ke-60.

Kali terakhir Pahang muncul juara SUKMA adalah pada edisi 2008 di Terengganu.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam penentuan pingat gangsa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker