Penghantar makanan maut dirempuh SUV dalam nahas 5 kenderaan

KLANG: Seorang penghantar makanan maut, manakala seorang penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua buah motosikal kira-kira jam 2.30 petang.

“Siasatan mendapati, persimpangan berkenaan mempunyai empat lorong di mana dua lorong jalan terus dan dua lorong untuk membelok ke kanan.

“Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di dua lorong kanan untuk membelok ke Jalan Haji Sirat.

“Sebuah kenderaan jenis Nissan X-trail yang memandu di lorong kiri hendak membelok ke kanan, tiba-tiba kenderaan jenis sama di lorong kanan hendak jalan terus dan berlaku perlanggaran.

“Kedua-dua kenderaan itu terbabas di mana Nissan X-trail yang berada di lorong kanan melanggar sebuah motosikal yang berada di arah bertentangan.

“Manakala Nissan X-trail yang berada di lorong kiri melanggar sebuah motosikal Grab Food dan kereta Proton Wira yang juga berada di arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu katanya, penunggang motosikal Grab Food iaitu seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

“Mayat penghantar makanan juga dibawa ke HTAR bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan saringan COVID-19 diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu SUV yang berumur 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, sentiasa peka dengan keadaan jalan ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker