TNB nafi maklumat tular

Oleh – Syeikh Baran


TNB nafi maklumat tular
Denda satu peratus yang dikenakan setiap hari kepada pengguna adalah maklumat palsu. – Foto BH

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menegaskan satu hantaran yang tular di media sosial mengenai caj denda satu peratus yang dikenakan setiap hari kepada pengguna adalah maklumat palsu.

TNB Careline dalam satu kenyataan di laman sosialnya berkata, jumlah surcaj yang betul dikira berdasarkan satu peratus daripada jumlah bil tertunggak dan didarab dengan bilangan hari tertunggak sebelum dibahagi dengan 30 hari.

Menurut kenyataan itu, sekiranya bil berjumlah RM500 dan ia dibayar lewat lima hari daripada tarikh akhir bil, kiraan surcaj yang dikenakan hanyalah 83 sen saja.

“Bagaimanapun, jika pengguna ingin mengelakkan situasi terlupa membayar bil elektrik bulanan, anda boleh menggunakan fasiliti pembayaran AutoPay atau Direct Debit.

“Selain itu, juga boleh muat turun aplikasi myTNB untuk memantau, menerima notifikasi bil tersedia dan membayar bil dengan mudah setiap bulan.

“Jadi, pengguna jangan mudah terpedaya dan elak menyebarkan maklumat palsu seperti ini,” menurut hantaran berkenaan, semalam.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan caj denda satu peratus dikenakan setiap hari kepada pengguna yang lewat membayar dalam tempoh berkenaan yang disifatkan kiraannya tidak masuk akal.

Difahamkan juga, hantaran maklumat palsu itu turut tular pada tahun 2019 dan TNB Careline juga sudah menjelaskan mengenai perkara berkenaan.

“Siapalah yang reka perkara ini? Admin nak mengucapkan terima kasih kerana mengingatkan kepada pelanggan TNB untuk membayar bil pada masanya bagi mengelakkan caj penalti lewat bayar.

“Bagaimanapun formula pengiraan caj penalti lewat bayar yang dikongsikan kurang tepat,”menurut hantaran itu.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker