Wanita UMNO syukur keputusan mahkamah

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (duduk, kanan) bergambar bersama pemimpin-pemimpin Wanita UMNO pada majlis WoRLD Women Re-Energize Leadership Development Mengarus Perdana Perjuangan Wanita di Sepang, hari ini.

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO akan mengadakan majlis kesyukuran berikutan keputusan mahkamah hari ini yang memihak kepada dua pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menzahirkan rasa syukur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,69, daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau juga bersyukur terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim,55, daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

“Alhamdulillah,keputusan mahkamah hari ini menyebelahi kedua-duanya – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Kita…, ahli-ahli UMNO sentiasa berdoa agar kebenaran itu terserlah.

“Hari ini, keputusan mahkamah menunjukkan kebenaran itu. Alhamdulillah.

“Walaupun Azeez dimaklumkan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), tetapi alhamdulillah, kami Wanita UMNO akan mengadakan majlis kesyukuran di atas pelepasan kedua-duanya,” katanya pada Program WoRLD Women Re-Energize Leadership Development Mengarus Perdana Perjuangan Wanita di Movenpick Convention Centre di Sepang, hari ini.

Program WoRLd itu dirasmikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mewakili Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ia merupakan satu program yang unik dan direka khas untuk para pemimpin Wanita UMNO Malaysia.

Lebih 100 peserta hadir pada program yang merupakan siri pertama diadakan selama tiga hari pada 23 hingga 25 September 2022, dan akan diteruskan lagi selepas ini.

Dalam kes Ahmad Zahid, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Di luar mahkamah, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Perak kelihatan mengaminkan doa yang dibaca penyokongnya setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam membebas dan melepaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah.

Sementara itu, dalam kes melibatkan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula, Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad supaya Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah dengan alasan representasi dikemukakan tertuduh dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker