Cheng Hoe pengendali baharu Selangor FC

KUALA LUMPUR: Selangor FC akhirnya mengumumkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih baharu Gergasi Merah.

Perkembangan itu dimaklumkan kelab berkenaan di laman Facebook rasmi mereka, hari ini, sambil memuat naik video pendek memaparkan pengendali berusia 54 tahun itu.

“Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan utama yang baharu. Selamat datang ke Selangor FC, Tan Cheng Hoe,” kata Selangor.



BH Sukan sebelum ini melaporkan bekas pengendali Harimau Malaya akan menyertai Selangor dengan nama Cheng Hoe dikaitkan dengan jawatan itu.

Pada 9 Ogos lalu, Selangor mengumumkan bahawa Michael Feichtenbeiner bersetuju untuk melepaskan jawatan ketua jurulatih Gergasi Merah susulan prestasi kurang memuaskan skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Situasi itu menyaksikan penolong jurulatih, Nidzam Jamil dilantik sebagai pengendali sementara dan mengemudi beberapa perlawanan Selangor dalam liga.

“Bagi saya, Selangor FC satu kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.



“Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramaijurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC.

“Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” kata Cheng Hoe dalam kenyataan.

Kehadiran Cheng Hoe dijangka memberi nafas baharu buat Selangor dengan rata-rata penyokong Gergasi Merah juga dilihat mengalu-alukan kehadiran bekas pengendali Kedah itu.

Cheng Hoe bukan asing lagi dalam kancah Liga M dengan dia pernah mengecapi kejuaraan Liga Perdana 2015 dan Piala Malaysia 2016 bersama Kedah.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button