Rampas RM2 juta rokok seludup, 2 ditahan

Kota Tinggi : Rokok seludup bernilai hampir RM2 juta berjaya dirampas polis selepas menahan sebuah lori jenis Hino di lampu isyarat simpang empat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, pagi tadi

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dua lelaki turut ditahan sepasukan polis dari Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan dan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, Bukit Aman.

Katanya, lelaki berusia 40-an ialah pemandu lori, manakala lelaki berusia 20-an dipercayai Tonto memandu kereta jenis Vios.

“Hasil pemeriksaan di dalam ruangan belakang lori tersebut menjumpai 131 kotak besar rokok putih jenama ‘Zon King’ dan 92 kotak besar rokok kretek jenama ‘L.A Bold’ yang disyaki tiada duti kastam.

“Nilai rampasan rokok RM1,906,100. Dipercayai diseludup daripada negara luar melalui jalan laut.

“Polis menahan lori terbabit, tidak lama kemudian datang sebuah kereta Vios berhenti dan pemeriksaan dijalankan. Pemandu Vios, lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menjadi Tonto.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,006,100,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Hussin, pihaknya memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok ini.

“Pihak polis masih menyiasat modus operandi yang digunakan sindiket ini dan tempoh operasi mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker