Sampai hati tinggal bayi baru lahir atas jalan raya

Keningau: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, hari ini.

Bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira jam 1.05 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada jam 2.38 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Nor Rafidah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 0164486747.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker