Protes antikerajaan Kazakhstan ragut 164 nyawa

 

Sekurang-kurangnya 164 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh semasa protes antikerajaan ganas di Kazakhstan, kata kementerian kesihatan negara berkenaan seperti dilaporkan laman berita Metro.UK. kelmarin.

Kira-kira 6,000 orang turut ditangkap susulan operasi pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan. Demonstrasi itu tercetus akibat peningkatan kos bahan api dan kemelesetan ekonomi.

Angka kematian baharu itu merupakan lonjakan daripada 44 kematian yang dilaporkan sebelum ini.

Kebanyakan kematian berlaku di bandar terbesar Kazakhstan, Almaty di mana penunjuk perasaan menawan bangunan-bangunan rasmi dan membakar sesetengahnya.

Lapangan terbang Almaty, pejabat datuk bandarnya dan beberapa fasiliti perkhidmatan perisikan Kazakhtan dilaporkan ditawan perusuh seketika sebelum kembali dirampas oleh askar-askar asing diketuai oleh Rusia serta polis tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, bunyi tembakan kedengaran sepanjang hari di Almaty kelmarin, demikian menurut stesen televisyen Rusia, Mir-24, namun, tidak jelas sama ada ia adalah tembakan amaran atau tembakan semasa pertempuran.

Pasukan tentera dari Belarus, Armenia, Tajikistan dan Kyrgyzstan merupakan antara askar yang dikerah oleh Majlis Keselamatan Kolektif (CSTO) yang diterajui Rusia.

Aksar-askar berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘tentera pengaman’ tetapi diberikan arahan ‘tembak untuk membunuh’.

Kebanyakan kematian setakat kelmarin adalah dalam kalangan orang awam dengan pihak berkuasa tempatan memberitahu, seramai 16 anggota pasukan keselamatan turut terbunuh..

Tiga kanak-kanak yang hilang nyawa pula termasuk seorang budak perempuan berumur empat tahun, demikian menurut seorang esuruhjaya tempatan untuk hak kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Kazakhstan sebelum ini melaporkan bahawa kira-kira 2,200 orang awam dan 1,300 anggota pasukan keselamatan cedera dalam keganasan di negara Asia Tengah itu, namun angka kecederaan baharu dipercayai jauh lebih tinggi. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker