SUKMA XX berakhir meriah

BANGI: Selepas lebih seminggu berlangsung, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 melabuhkan tirainya secara rasmi secara bersederhana tetapi meriah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penutupnya berkata, penganjuran SUKMA kali ini amat istimewa selepas empat tahun tidak dianjurkan disebabkan penularan COVID-19.

Ahmad Faizal berkata, temasya kali ini yang dianjurkan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Langkawi tetap menemui objektifnya selain bersyukur penganjurannya berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekurangan.



“Barangkali ia tidak sempurna seperti kita semua harapkan. Namun, saya berpuashati kerana segala permasalah atau isu berbangkit diselesaikan dengan sebaik mungkin disulami semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya yakin, untuk edisi yang seterusnya, tidak kira negeri mana pun menjadi tuan rumah, penganjuran SUKMA akan terus berlangsung dengan meriah dan jayanya. InsyaAllah,” kata Ahmad Faizal dalam ucapannya.

Ahmad Faizal dalam pada itu turut berharap acara sukan yang tidak dapat dipertandingkan pada edisi ke-20 kali ini akan kembali dipertandingkan pada temasya akan datang bagi menaikkan semangat atlet dan juga memartabatkan lagi acara sukan berkenaan.



Selain itu, beliau turut gembira dengan liputan meluas penganjuran bukan saja di media massa tetapi juga sosial dengan difahamkan jumlah keseluruhan video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok, berjaya mencapai lebih 38 juta tontonan.

“Lihat saja bagaimana begitu teruja atlet muda kita setiap kali wajah mereka muncul di kaca televisyen. Jadi bayangkan, betapa begitu bersemangat mereka, jika media memberi liputan menyeluruh terhadap hasil usaha dan titik peluh mereka,” katanya yang turut menghargai penyertaan negara Brunei Darulsalam.

SUKMA 2022 tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada pemegang taruh seperti kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, agensi dan penaja dan paling utama, Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) yang menjadikan temasya kali ini berlangsung dengan lancar.



“Setakat ini, terdapat lebih 300 ribu golongan belia mendaftar sebagai SATRIA dan saya berharap jumlah ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Menerusi SATRIA, golongan belia menerima begitu banyak manfaat antaranya termasuk latihan serta pendedahan bagi memastikan gerak kerja kesukarelawanan berjalan lancar.

“Selain itu, saya difahamkan SATRIA juga sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan khidmat mereka bagi membantu kerja sukarela seandainya kita berdepan bencana banjir kelak.

“Maka, wahai atlet dan belia sekalian, ayuhlah beramai-ramai mendaftar sebagai SATRIA!. Pastikanlah masa muda kalian diisi dengan perkara yang mendatangkan faedah,” katanya.



SUKMA 2022 menutup tirainya dengan menyaksikan kontinjen Johor muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa manakala Terengganu berada di tangga kedua, 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Kontinjen Wilayah Persekutuan berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa manakala Sarawak di tangga keempat, 32 emas, 43 perak dan 52 gangsa.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button