Switzerland kejutkan Sepanyol

ZARAGOZA, Sepanyol: Switzerland mencipta kemenangan 2-1 mengatasi Sepanyol pada aksi Liga Negara-Negara awal pagi tadi di Zaragoza yang membuatkan skuad kendalian Luis Enrique tersingkir daripada kedudukan teratas kumpulan.

Portugal pula membelasah Republik Czech 4-0 dalam satu lagi pertemuan Liga A Kumpulan 2 seterusnya dua mata di depan Sepanyol yang mereka akan temui Selasa ini dalam aksi terakhir kumpulan.

Ia adalah kekalahan pertama Sepanyol dalam kumpulan selepas lima perlawanan dan ia mendedahkan kerapuhan benteng mereka menghalang sepakan bola mati.

Manuel Akanji dan Breel Embolo masing-masing meledak hasil sepakan sudut Switzerland sebelum dan selepas jaringan Jordi Alba.

“Dalam dua situasi bola mati, yang pasti akan menjadi penting dalam Piala Dunia, mereka mendapat gol,” kata pertahanan Villarreal, Pau Torres.

“Kami perlu memperbaikinya.”

Sepanyol nampak tidak selesa dalam perlawanan itu, jauh daripada aksi seperti ketika mereka layak ke separuh akhir Euro 2020 dan kalah penentuan penalti kepada Itali.

Berikutan itu mereka mengalami kekalahan pertama di laman sendiri sejak 2018 selepas tidak kalah dalam 22 perlawanan.

Luis Enrique memilih enam pemain Barcelona dalam kesebelasan utama termasuk tiga pemain tengah biasa diguna Xavi Hernandez di Camp Nou iaitu Pedri, Gavi dan Sergio Busquets.

Ferran Torres yang juga pemain Barca, melengkapkan tiga rangkaian serangan bersama bintang Real Madrid, Marco Asensio dan penyerang Paris Saint-Germain, Pablo Sarabia.

Tiada seorangpun daripada mereka mendapat minit permainan mencukupi bersama kelab mereka musim ini tetapi mendapat kepercayaan Luis Enrique.

“Kami goyah, tidak, lebih teruk daripada itu,” kata Luis Enrique.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker