UMNO, PAS perlu segera berunding

(Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – UMNO dan PAS perlu kembali segera ke meja rundingan demi menjamin kemenangan kepada parti yang dipimpin Melayu-Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, rundingan tersebut perlu bagi mewujudkan ‘khemah besar’ yang memayungi kaum Melayu dan Islam pada pilihan raya tersebut.

Beliau menyifatkan kerjasama kedua-dua parti berkenaan penting untuk mengelak Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

Sehubungan itu, Muhamad Muqharabbin meminta agar pemimpin kedua-dua parti tersebut mendengar suara hati akar umbi yang tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ selepas menyaksikan kekalahan pada PRU-14 pada 2018.

“Biar putih tulang, jangan putih mata. Segala-galanya boleh menjadi rosak dan binasa. Dengarlah suara kami akar umbi supaya bangsa Melayu dan rakyat berbilang kaum dapat hidup aman harmoni dengan dipimpin oleh Muafakat Nasional (MN),” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin mengakui di beberapa negeri, amat sukar PAS dan UMNO untuk bekerjasama.

Tetapi katanya, demi agama Islam, dan bangsa Melayu serta kesejahteraan bangsa-bangsa lain dalam negara ini, beliau merayu agar kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan bekerjasama dalam menghadapi PRU-15.

“Ketepikanlah kesombongan, kembalilah kepada kesepakatan, berkongsilah kuasa demi kebaikan ummah.

“Saya yakin dengan segala apa yang telah dirancang oleh kepimpinan tertinggi parti. Buatlah yang terbaik, berbincanglah elok-elok agar Pakatan Harapan yang merosakkan ekonomi negara, yang telah menganiaya rakyat dengan janji-janji palsu, yang meruntuhkan keharmonian rakyat, yang menipu manifesto, yang menghasut rakyat tidak kembali berkuasa semula.

“Saya merayu agar jangan sesekali, ini berlaku lagi. Rakyat akan sengsara, lagi-lagi ekonomi dunia dijangka akan mengalami kemelesetan pada tahun depan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai berkata, di kawasannya, UMNO dan PAS sentiasa memberi fokus kepada membantu rakyat dengan tidak ada perbalahan.

“Sekiranya kami di sini bergabung, saya yakin sepenuhnya, Parlimen Lembah Pantai, BN dan PAS dalam MN akan diberikan mandat untuk kembali memimpin dan membawa landskap perubahan yang lebih baik untuk rakyat kawasan ini,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker