Dua beregu negara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF


Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (kiri) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (kanan)

29/01/2021 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan — Hanya dua wakil negara melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mempamerkan aksi menakjubkan apabila berjaya mengenepikan pasangan kelapan dunia dari Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu 21-13, 21-17 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B hari ini.

Mengikut jejak Mei Kuan-Meng Yean, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya menyingkirkan pasangan Indonesia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 21-13, 21-13 dalam perlawanan berlangsung selama 57 minit.

Kedua-dua gandingan negara layak ke peringkat separuh akhir selepas masing-masing menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua dengan dua kemenangan dan satu tewas.

“Hari ini, kami bermain dengan baik dan memberi tekanan kepada lawan. Kami tidak melakukan kesilapan mudah dan mengutip mata demi mata untuk menewaskan mereka. Ia satu perlawanan yang panjang dan kami hanya fokus kepada bulu tangkis.

“Kami tidak memikirkan menang atau kalah, kami cuma mahu memberi tekanan kepada lawan dengan bertukar-tukar strategi menyerang dan bertahan,” kata Mei Kuan dalam kenyataan di laman web BWF www.bwfbadminton.com.

Sementara itu, cabaran beregu lelaki negara terhenti apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan gandingan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masing-masing tewas dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Aaron-Wooi Yik gagal menyaingi pasangan kedua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia apabila tunduk 21-18, 17-21, 11-21 manakala Yew Sin-Ee Yi tewas 15-21, 13-21 kepada pasangan dari England Ben Lane-Sean Vendy.

Keputusan perlawanan peringkat kumpulan:

(Nota: pemain Malaysia kecuali dinyatakan; [  ] pemain pilihan)

Perseorangan lelaki:

Lee Zii Jia kk Anthony Sinisuka Ginting (INA) 12-21, 21-15, 13-21

Beregu lelaki:

Kumpulan A: [4] Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kk Ben Lane-Sean Vendy (ENG) 15-21, 13-21

Kumpulan B: [2] Aaron Chia-Soh Wooi Yik kk [3] Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (INA) 21-18, 17-21, 11-21

Beregu wanita:

Kumpulan A: Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mn [1] Greysia Polii-Apriyani Rahayu (INA) 21-13, 21-17

: Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kk [3] Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR) 21-12 21-16

Beregu campuran:

Kumpulan B: Goh Soon Huat-Shevon Lai mn Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (INA) 17-21, 21-13, 21-13

Terbuka Thailand: V Shem-Wee Kiong mara ke suku akhir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker