10 pelajar kolej vokasional ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di Wangsa Maju, di sini hari ini kerana disyaki memukul seorang pelajar lain hingga cedera.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata penahanan pelajar berusia antara 16 hingga 20 tahun itu susulan laporan polis dibuat seorang wanita berkenaan kes itu, semalam.

Beliau berkata, pengadu wanita tempatan yang juga ibu mangsa, menerima makluman daripada warden asrama mengatakan anaknya tidak sihat dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa (lelaki) memaklumkan dipukul beramai-ramai oleh rakan senior kolej ketika berada di surau asrama.



“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang dan sakit di keseluruhan badan akibat dipukul,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.

Ashari berkata, kes masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Tindakan akan diambil kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira pesalah itu berstatus pelajar,” katanya.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker