3,900 pelajar Politeknik Kota Kinabalu

terima manfaat CoC

Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad (dua dari kiri) melihat hasil kejuruteraan pelajar Politeknik Kota Kinabalu di Kota Kinabalu,Sabah,baru-baru ini.

 

Oleh Azrin Muhammad

KOTA KINABALU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menandatangani Certificate od Collaboration (CoC) dengan sembilan rakan industri pelbagai sektor yang akan memberi manfaat kepada 3,900 pelajar Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sabah sehingga tahun 2025.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, upacara Siri Kedua itu melibatkan rakan industri daripada sektor kejuruteraan, perbankan, keusahawanan, pelancongan serta hospitaliti.

“Kolaborasi ini merangkumi perkongsian kepakaran dan usaha sama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak seperti membuka peluang kepada penuntut PKK bagi menjalankan latihan industri serta projek tahun akhir.

“CoC ini juga bertujuan membuka peluang kepada rakan industri untuk memilih graduan yang berpotensi dan kompeten untuk terus diserap berkhidmat dalam agensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Turut hadir menyaksikan upacara CoC, Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Othman dan Pengarah PKK, Dulah Muluk.

Dalam masa sama, Ahmad Masrizal berkata, rakan industri sangat penting dalam menghasilkan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berkemahiran tinggi kerana kepakaran yang dikongsikan dan dimiliki oleh rakan industri dapat membantu pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi pasaran pekerjaan semasa.

“Melalui kolaborasi seperti ini, negara kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing; merapatkan jurang antara kualiti graduan dan keperluan industri serta menjadikan TVET sebagai pilihan utama pelajar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker