4 gajah tersesat sekitar Taman Seri Impian
Kluang: Menjejaki bau umbut pokok kelapa sawit yang diracik bagi proses penanaman semula di ladang sekitar Taman Seri Impian menjadi salah satu punca kehadiran empat ekor gajah di sekitar taman berkenaan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Johor Aminuddin Jamin berkata, faktor lain yang menyebabkan haiwan berkenaan tersasar memasuki penempatan penduduk itu juga disebabkan laluan asal gajah mengalami gangguan kerana terdapat pembinaan struktur parit dan pagar.
“Kawanan gajah tersesat itu kini sudah bergerak ke sebelah kawasan hutan berhampiran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
“Pemilik ladang berkenaan terpaksa melakukan proses meracik itu kerana aktiviti pelupusan alternatif iaitu pembakaran pokok kelapa sawit tidak dibenarkan.
“Perhilitan tidak mempunyai kuasa untuk menahan pemilik ladang daripada melakukan proses meracik itu melainkan menasihatkan mereka mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat kawalan supaya gajah berkenaan tidak memasuki penempatan penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aminuddin berkata, pihaknya berusaha mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk pemindahan gajah dan melaksanakan tugasan renjer hutan pada waktu siang dan malam demi keselamatan orang ramai.
“Pada siang renjer hutan bertugas memantau binatang termasuk kera dan babi hutan, namun pada malamnya pula, renjer mengawasi pergerakan gajah supaya tidak memasuki kawasan penempatan manusia.
“Kami juga sudah mengadakan mesyuarat dengan pemilik ladang sekitar Taman Seri Impian baru-baru ini bagi mencari jalan terbaik supaya haiwan itu tidak memasuki kawasan perumahan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, berikutan aktiviti pembersihan ladang kelapa sawit untuk proses penanaman semula itu, pihaknya menjangkakan kehadiran haiwan berkenaan akan berlaku sehingga proses berkenaan selesai.
Terdahulu, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, video memaparkan penduduk sekitar Taman Seri Impian yang dikejutkan dengan gangguan haiwan berkenaan hingga merosakkan pagar dan tanaman selain mendatangkan perasaan bimbang mengenai keselamatan nyawa penduduk.
METRO