Dr. Roziah umum dua fakulti UiTM bergabung

( Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM akan dikenali sebagai Kolej Komputer, Informatik dan Media mulai Oktober ini. – Gambar Hiasan)

Oleh Rohana Man

 



SHAH ALAM – Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr.Roziah Mohd Janor mengumumkan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), berkuatkuasa Oktober ini.

Dengan penggabungan itu, FKPM akan dikenali sebagai Kolej Komputer, Informatik dan Media.

Beliau membuat pengumuman tersebut ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-50 FKPM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam ucapan itu, Dr. Roziah berkata, keputusan menggabungkan kedua-dua fakulti itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai perkara yang sejajar dengan rancangan progresif UiTM dalam meningkatkan kepakaran ahli akademik dan penyelidik merentas disiplin ilmu.



Beliau percaya anjakan itu akan mengukuhkan kedudukan UiTM dalam melonjakkan institusi ke tahap lebih tinggi untuk mengejar kecemerlangan.

“Malam ini, saya mengumumkan fakulti (FKPM) kini memasuki era baharu dengan dikenali sebagai Kolej Komputer, Informatik dan Media, berkuatkuasa Oktober 2022,” katanya.

Majlis anjuran Persatuan Alumni MassComm UiTM 2022 itu berjaya menghimpunkan kira-kira 400 alumni dari seluruh negara, sekali gus mengimbau nostalgia alumni terhadap kenangan ketika di kampus yang mana MassComm merupakan perintis dalam bidang komunikasi dan media massa di Malaysia.

Sehingga hari ini, kursus yang ditawarkan sejak 50 tahun lalu kekal relevan dan mendapat sambutan hangat majikan.



Dr. Roziah berkata, setiap ahli fakulti perlu menerima, menyesuaikan diri pembaharuan itu sebagai sebahagian daripada perubahan hidup yang berterusan.

Beliau menjelaskan, keputusan mempercepatkan penggabungan itu adalah selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025 yang mana MassComm menjadi salah satu sekolah pengajian komunikasi dan media terkemuka di Malaysia melalui pencapaian akademik dan perkongsian strategik yang akan membawa UiTM menjadi Universiti Terkenal Secara Global.

Sementara itu, FKPM dalam satu kenyataan memaklumkan majlis makan malam itu adalah kemuncak sambutan lima dekad penubuhan MasComm UiTM.

Sambutan pada malam itu turut mengimbau sejarah penubuhan Kajian Sebaran Am serta Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Massa pertama yang menawarkan pengajian komunikasi dan media massa secara holistik di Malaysia pada 1972.



“Institusi ini bermula dengan ITM (Institut Teknologi Mara) yang kemudian dinaiktaraf menjadi UiTM dan telah berjaya melahirkan lebih 20,000 graduan dalam bidang komunikasi dan media massa dalam negara serta antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button