Harimau Malaya kalah penalti 0-3

KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk menjulang Piala Raja Thai selepas 44 tahun berkecai apabila tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Tajikistan pada aksi final di Stadium Chiang Mai, sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon melakukan beberapa perubahan berbanding ketika berdepan Thailand sebelum ini dengan meletakkan Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Masor dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, permukaan padang kurang baik dan hujan ketika perlawanan menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan yang dilihat sukar untuk melakukan gerakan lebih teratur.

Harimau Malaya mendapat peluang untuk berada di depan pada minit ke-23 selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol Tajikistan, namun tandukan Brendan Gan pula tidak menepati sasaran.



Aksi lebih baik dapat disaksikan pada babak kedua dengan kedua-dua pasukan yang terdesak untuk memecah kebuntuan jaringan saling berbalas serangan.

Percubaan terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-57 menerusi rembatan jarak jauh Safawi Rasid yang memaksa penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov melayangkan badan untuk menyelamatkan pintu golnya.

Kubu skuad negara turut diasak beberapa kali, namun ia dinafikan dengan ketangkasan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed termasuk rembatan deras Manuchehr Safarov pada minit ke-82.

Tajikistan berjaya memperoleh gol pada minit ke-84, namun Malaysia bernasib baik apabila pengadil membatalkan jaringan Rustam Soirov itu selepas dia dikesan berada dalam posisi ofsaid.



Kebuntuan kedua-dua pasukan mencipta jaringan hingga wisel penamat menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti.

Kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyudahkan tiga sepakan awal Harimau Malaya membolehkan Tajikistan meraih kemenangan 3-0 menerusi penentuan penalti.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker