Jangan Percaya PH, PN. Utamakan Masa Depan Bersama BN



PUTRAJAYA – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan rakyat khususnya para pengundi agar waspada dan tidak lagi percayakan parti-parti lain selain UMNO/Barisan Nasional (BN) apatah lagi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sepanjang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hinggalah kini sewajarnya menjadi penilaian terbaik kepada semua dengan membandingkan antara parti-parti yang pernah berkerajaan iaitu antara PH, PN dan BN.

“Kita ada bukti, ada fakta dan boleh membuat penilaian dengan bijak dalam menentukan masa depan kita, masa depan anak-anak dan rakyat sekalian serta yang utama adalah masa depan negara.

“Kita dah melihat dan mengalami bagaimana pentadbiran PH yang penuh dengan janji-jani kosong, janji-janji palsu … apa yang tak dijanjikan kepada rakyat, dari golongan penjawat awam, berpencen hinggalah kepada anak-anak muda, kononnya nak bagi peluang pekerjaan, gaji minima yang tinggi, penghapusan hutang PTPTN dan macam-macam tapi kemudian apabila mereka mentadbir sebaliknya yang berlaku malah lebih teruk apabila aset negara dijarah dan mengutamakan kroni sahaja.



“Nak kata PN pula, penuh caca marba, perundangan dan Parlimen dinafikan, rakyat terkurung dengan macam-macam cara walaupun kita akur ia adalah pandemik COVID-19 tapi malangnya tak ada bantuan disalurkan,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, kini ketika musim PRU dikatakan akan tiba dan makin dekat maka ramai pula pemimpin-pemimpin sebelah sana yang sebelum ini ‘hilang’ tapi muncul kembali.

“Macam cendawan muncul selepas hujan sedangkan selama empat tahun rakyat tersepit, tertekan dengan macam-macam keadaan tak ada pun pemimpin mereka yang datang tapi tiba-tiba apabila musim PRU dekat maka muncullah nama itu nama ini.

“Saya tak kata kawasan lain walaupun saya dimaklumkan ia berlaku, kerana di Putrajaya ini pun ada nama-nama yang dari parti sebelah sana dah mula bagi macam-macam ‘gula-gula’ politik kepada rakyat tempatan, tapi saya tahu bahawa rakyat lebih bijak menilai.



“Sepanjang penggal ini, iaitu selepas PRU14 tak ada sesiapa yang endah dengan rakyat malah rakyat sendiri mungkin tak akan lupa bagaimana ribuan penjawat awam yang kontrak kehilangan pekerjaan, belum lagi yang dipindahkan tiba-tiba atas macam-macam alasan, peniaga pun kehilangan pendapatan akibat tekanan ekonomi dan macam-macam lagi.”

Soal beliau, sanggupkan kita untuk memberikan lagi kepimpinan negara kepada mereka yang gagal sebagaimana PH dan PN.

“Mereka tuduh BN yang gagal sedangkan sebenarnya mereka menyembunyikan keburukan yang telah mereka lakukan. Mereka tohmah UMNO/BN dengan macam-macam perkara malah sekarang ini dicanang pula kononnya BN akan balas dendam sekiranya menang atau berkerajaan selepas PRU15 sedangkan itu semua tak benar.

“UMNO/BN bukanlah parti yang berteraskan emosi sebaliknya kuasa dan kedudukan yang ada dugunakan sebaiknya bagi mengangkat martabat bangsa dan negara. Kita mahukan rakyat maju dan negara membangun tanpa menolak mana-mana pihak sekalipun ideologi berbeza.



“Lagi pula takkanlah kita nak biarkan ‘pisang berbuah dua kali’ dengan mengundi parti yang pernah menyebabkan negara kiuuta mundur dan ketinggalan?”

Maka kerana itu, tegas Tengku Adnan lagi, kekalkanlah tekad untuk terus bersama UMNO/BN dan mendepani apa juga cabaran bagi memastikan kemenangan dalam PRU15 kelak.

UMNO Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker