Pelajar Politeknik Ibrahim Shah dinobatkan Olahragawan SUKMA 2022



Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize (kanan) bergambar bersama Datuk Azizulhasni Awang selepas dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, baru-baru ini.- BERNAMA

Oleh Rohana Man

BANGI – Pelajar Politeknik Ibrahim Shah (PIS), Pasir Gudang yang merupakan atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize dinobatkan Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 apabila berjaya membawa pulang sembilan pingat emas keseluruhan.

Atlet berusia 21 tahun itu turut mencipta sejarah selepas berjaya memecah dua rekod kebangsaan dalam acara K2 500 meter (m) dan K2 1000m.



Baki tujuh lagi acara yang dimenangi pelajar program Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV) itu adalah K1 200m, K2 200m, TBR 1000m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.

Muhammad Fakhrullah berkata, sepanjang mengikuti latihan, beliau tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah atlet terbaik.

Katanya, beliau lebih fokus kepada latihan untuk memberikan hasil terbaik dan membanggakan negeri yang diwakilinya.

“Hasil latihan berterusan, inilah pencapaian saya selama tujuh ke lapan tahun terlibat dalam acara kanu.



“Alhamdulillah, saya berjaya meraih sembilan pingat emas untuk Johor,” katanya kepada media di sini, baru-baru ini.

SUKMA ke-20 yang mula diperkenalkan pada 1986 dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) melabuhkan tirainya di sini, pada malam Sabtu lalu.

Pada temasya kali ini, negeri Johor muncul juara keseluruhan, selain mencatatkan kejayaan berganda apabila gelaran Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2022 menjadi milik negeri itu, menerusi Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize (acara kanu) dan perenang muda, Tan Rouxin,16.

Rouxin yang membuat penampilan sulung di SUKMA meraih enam emas, satu perak dan satu gangsa.



Beliau meraih pingat emas dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 100m kuak lentang, 200m kuak lentang dan 200m individu rampaian, manakala perak untuk acara 50m kuak lentang dan gangsa, 4x100m rampaian.

“Ini suatu perkara yang di luar jangkaan memandangkan ini adalah penampilan pertama saya dalam SUKMA.

“Lagipun, saya tidak pernah terfikir untuk dinobatkan sebagai atlet wanita terbaik,” katanya sambil memberitahu, sasaran beliau hanya mahu pecahkan rekod peribadi sahaja.

Dalam sejarah 36 tahun penganjuran SUKMA, ini adalah kali pertama kontinjen Johor muncul juara keseluruhan dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.



Kontinjen Terengganu di tangga kedua dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa, manakala Wilayah Persekutuan di tangga ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Trofi juara keseluruhan diserahkan kepada kontinjen Johor oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, manakala jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang diterbangkan khas dari Melbourne, Australia pula menyampaikan trofi atlet lelaki terbaik kepada Fakhrullah.

Sementara itu, legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyampaikan trofi atlet wanita terbaik kepada Rouxin.

Dalam pada itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan seluruh warga PIS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Muhammad Fakhrullah atas pengiktirafan yang diterimanya sebagai Olahragawan SUKMA 2022.

“Semoga kejayaan beliau menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada seluruh warga pelajar PIS untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan diri serta menjadi kebanggaan keluarga, institusi, bangsa dan negara,”kata kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook PIS,baru-baru ini.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker