Sanggup berhenti kerja demi jaga ibu yang sakit



RANTAU PANJANG – “Biarlah saya menghabiskan masa menjaga ibu yang perlu diawasi hampir setiap waktu kerana dia boleh diserang sawan secara tiba-tiba, selain keadaannya yang semakin uzur sejak kebelakangan ini,” luah Amin Nasrin Abdullah, 30, anak tunggal yang terpaksa berhenti kerja demi menjaga ‘syurga’ nya itu.

Amin yang sebelum ini sudah bekerja selama 10 tahun di sebuah kedai serbaneka di pekan Rantau Panjang, di sini, terpaksa mengambil keputusan itu beberapa bulan lalu selepas ibunya, Halimah Mohd Yusof, 69, kini hanya mampu terbaring susulan penyakit saraf.

Katanya, tambahan pula hidupnya selama ini hanya ditemani kasih sayang ibu sahaja selepas kedua-dua orang tuanya berpisah sejak dia masih kecil, jadi dia tidak sesekali menyesal berhenti kerja demi menjaga satu-satunya ‘harta’ di dunia yang masih ada.

“Sekarang saya hanya bergantung harap kepada wang simpanan yang dijangka bertahan untuk tempoh dua bulan sahaja memandangkan ibu juga memerlukan lampin pakai buang dengan kos RM450 sebulan.



“Sejujurnya saya sendiri buntu tetapi perlu terus kuat di depan ibu kerana dia hanya mampu terbaring serta perlu dibantu untuk makan, minum dan mandi. Hati saya juga luluh melihat ibu meronta kesakitan apabila diserang beberapa kali dalam sehari.

“Saya tidak sampai hati meninggalkan ibu seorang diri di rumah dan mengambil keputusan berhenti kerja walaupun sebelum ini pernah mengupah orang menjaga ibu dengan bayaran RM600 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Permai, di sini, semalam.

Nasib pemuda itu turut mendapat perhatian wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang tampil membantu daripada segi kewangan dan barangan keperluan selain turut memberi sokongan moral buatnya.

Amin yang sentiasa murah dengan senyuman, berkata dia mempunyai saudara mara tetapi akur bahawa mereka juga ada kehidupan sendiri, justeru dia perlu kuat untuk menjaga ibunya kerana sebelum ini juga hidup mereka hanyalah berdua sahaja.



“Di usia begini juga, ramai yang bertanya kenapa saya masih belum berkahwin? Saya hanya mampu tersenyum dan menerangkan bahawa buat masa ini hanya ibu yang menjadi keutamaan saya.

“Sewaktu ibu masih kuat, dia yang membesarkan saya seorang diri dengan menorah getah dan melakukan pekerjaan lain tanpa erti penat. Sekarang adalah masa untuk saya membalas segala jasanya, biarpun bukan dengan kemewahan tetapi saya cuba menjaga sebaik mungkin.

“Besar harapan saya supaya ibu boleh kembali sembuh kerana melihat keadaanya begini ada kalanya membuat saya menjadi sangat sedih, tetapi deminya saya cuba untuk terus kuat,” katanya yang mengakui sentiasa berdoa supaya dirinya terus kuat menghadapi dugaan itu.

Menurutnya, ibunya menerima bantuan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM450 sebulan bagi kategori ibu tunggal dan digunakan sepenuhnya untuk rawatan dan membeli lampin pakai buang.



© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker