Nilai ringgit susut kepada RM4.68 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini di tengah-tengah pengumuman data Indeks Harga Pengeluar (PPI) Amerika Syarikat (AS) bulan September yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu pada 8.5 peratus berbanding unjuran 8.4 peratus, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6850/6875 berbanding dolar AS daripada penutup hari Rabu iaitu 4.6820/6855.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data baharu itu memberi isyarat bahawa inflasi kekal tinggi di AS kerana PPI mengukur perubahan dalam harga barangan, produk dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat untuk mengeluarkan produk mereka.

“Malah, pemacu yang lebih penting ialah minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dikeluarkan semalam. Ia memberikan beberapa petunjuk tentang langkah dasar monetari seterusnya yang akan diterima pakai oleh Rizab Persekutuan AS,” katanya dalam nota hari ini.

Beliau berkata, beberapa ahli FOMC kekal bertekad untuk mengekalkan kestabilan harga dengan menaikkan kadar faedah sambil menambah kenaikan itu juga perlu diseimbangkan supaya ia tidak mempunyai kesan yang tidak diingini ke atas ekonomi.

Secara keseluruhan, beliau berkata kadar faedah di AS berkemungkinan terus meningkat sehingga akhir tahun, tetapi pada kadar yang lebih perlahan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.2050/2078 daripada 5.1825/1864 pada penutup Rabu, lemah berbanding euro kepada 4.5505/5530 daripada 4.5453/5487 dan lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2666/2688 daripada 3.2595/2622 semalam.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1914/1936 daripada 3.1987/2014 sebelumnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker