Guru besar nafi keluar kenyataan murid hampir diculik

'Kena tipu konon...'

Kuching: Guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10 di sini, menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berhubung seorang murid tahun satu sekolah itu hampir menjadi mangsa culik yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Hiew Siaw Chew, 58, tampil membuat laporan polis terhadap Cats FM dan juga Samarahan Edition yang menyiarkan berita itu di Facebook.

“Pada 4.30 petang, guru besar itu diberitahu oleh guru sekolahnya menyatakan terdapat kenyataan di Facebook menyatakan seorang murid tahun satu sekolah itu nyaris menjadi mangsa culik dekat perhentian bas di hadapan sekolah berkenaan, kira-kira 1 tengah hari.

“Beliau (guru besar) menafikan kejadian culik itu dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dimuat naik di lama Facebook terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Katanya, guru besar itu kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk menafikan pembabitannya serta mahu kenyataan itu tidak disebarkan lagi kerana ia tidak berasas.

“Laporan dibuat untuk keselamatan diri dan untuk rujukan Pejabat Pendidikan Daerah Padawan,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, pengadu menafikan pernah memberikan sebarang maklumat berkenaan kes seperti itu kepada sesiapa lebih-lebih lagi kepada media.

“Semakan dilakukan mendapati bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada fakta yang tidak nyata, hanya didengari secara verbal (lisan) daripada beberapa individu dan dipercayai telah ditokok tambah.



“Akibat kenyataan itu mendatangkan kebimbangan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat awam,” tegasnya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan mendapatkan keterangan daripada bahagian penyiaran bagi laman sosial Cats FM dan juga Samarahan Edition.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker