Itali ubati kecewa Piala Dunia

BUDAPEST: Itali, yang terlepas ke Piala Dunia untuk dua edisi berturut-turut, boleh mengubat kekecewaan mereka dengan saingan di empat terakhir Liga Negara-Negara UEFA.

Mereka menewaskan Hungary 2-0 di Budapest untuk melonjak ke tangga teratas Liga A Kumpulan 3.

Giacomo Raspadori, yang menjaringkan gol kemenangan ke atas England Jumaat lalu, membuka jaringan pada minit ke-27 hasil kesilapan benteng Hungary.

“Kami memerlukan perlawanan sebegini untuk mengembalikan semangat, walaupun Piala Dunia masih meninggalkan luka dan kami tidak mampu untuk menebusnya.

“Kami perlu bermula dari awal semula, kami perlu melakukannya untuk Itali,” kata penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

Hungary, yang memulakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebagai pendahulu, berjuang habis-habisan tetapi Donnarumma beraksi cemerlang menafikan dua percubaan berturut-turut mereka pada minit ke-50 menerusi Loic Nego dan Adam Szalai.

Dua minit kemudian, Federico memanfaatkan hantaran lintang Bryan Cristante untuk meledak gol antarabangsa pertamanya dan ke-1,500 Itali.

Donnarumma sekali lagi menafikan Hungary dengan menyelamatkan tandukan Callum Styles pada minit ke-55.

Itali akan mengiringi Belanda dan Croatia ke separuh akhir Liga Negara-Negara yang akan berlangsung pada Jun 2023.

“Kami cemerlang sepanjang tempoh 70 minit, 20 minit terakhir saya tidak berapa suka.

“Kami gembira, penting buat kami untuk mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara buat kali kedua,” kata pengendali Itali, Roberto Mancini.

Satu lagi tempat ke separuh akhir akan menjadi rebutan antara Sepanyol dan Portugal yang akan bertembung awal pagi esok.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker