Kanak-kanak jadi ‘hero’ selamatkan rakan daripada diculik

LIPIS: Seorang kanak-kanak dikatakan menjadi ‘hero’ apabila menyelamatkan rakannya daripada menjadi mangsa culik.

Kejadian kira-kira jam 7.15 petang Ahad lalu, ketika dua sahabat itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Landak di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, mengesahkan kejadian yang turut tular di media sosial itu susulan laporan dibuat ibu kepada kanak-kanak yang membantu menggagalkan cubaan culik itu September.



Mengulas kejadian itu, katanya, pengadu mendakwa dua kanak-kanak itu dihampiri sebuah kereta dari arah bertentangan yang memasang lampu besar, sebelum berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan seorang daripada mereka melalui tingkap kereta.

“Anak pengadu menolong menarik dan merentap tangan kawannya daripada lelaki itu sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak.

“Kereta terbabit terus memecut meninggalkan tempat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan maklumat, katanya, kejadian itu berlaku berhampiran sekolah dan didakwa suspek memandu kereta jenis Proton Wira berwarna merah.



“Kanak-kanak terbabit bagaimanapun tidak dapat mengecam nombor plat kereta itu,” katanya mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Azli menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.

Sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button