Kapal angkasa NASA berjaya hentam asteroid dalam satu ujian pagi tadi

AMERIKA SYARIKAT – Kapal angkasa Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya menghentam asteroid Dimorphos dalam ujian yang bersejarah pagi tadi.

Ujian itu diadakan bagi mengetahui keupayaan manusia untuk melindungi dan menghalang objek kosmik daripada merosakkan kehidupan di bumi.

Ia juga adalah percubaan pertama manusia untuk mengubah gerakan asteroid atau mana-mana badan angkasa, kira-kira 10 bulan selepas DART dilancarkan.

Strim secara langsung menerusi laman web NASA itu menunjukkan imej yang diambil oleh kamera DART, ia meluncur ke arah asteroid Dimorphos yang dianggarkan sebesar stadium bola sepak, sekitar jam 7 malam (2300 GMT) kira-kira 6.8 juta batu (11 juta kilometer) dari bumi.

Misi ini direka untuk menentukan sama ada kapal angkasa mampu mengubah trajektori asteroid melalui daya kinetik, menolaknya dari laluan yang boleh mengundang bahaya kepada bumi.

Sama ada ia berjaya mencapai sasaran diharapkan masih belum diketahui sehingga pemerhatian teleskop lebih lanjut ke atas asteroid dilaksanakan bulan depan.

Bagaimanapun, pegawai NASA memuji hasil eksperimen yang dibuat dan jelas mereka kapal angkasa itu kelihatan berfungsi sebagaimana rekaannya.

DART yang dilancarkan oleh roket SpaceX pada November 2021 melakukan sebahagian besar pelayarannya di bawah bimbingan pengarah penerbangan NASA dengan kawalan diserahkan kepada sistem navigasi autonomi pada jam terakhir perjalanan.

Hasil ujian itu dipantau dalam tempoh hampir sama dari pusat operasi misi di Makmal Fizik Gunaan Universiti Johns Hopkins (APL) di Laurel, Maryland.

Sorakan oleh jurutera di dalam bilik kawalan didengari apabila imej asteroid yang disasarkan semakin besar dan akhirnya memenuhi skrin TV sejurus sebelum isyarat kapal angkasa itu hilang, mengesahkan ia telah berjaya merempuh Dimorphos.

“Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya,” kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA.

Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos.

Permukaan Dimorphos yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kira-kira 23,500 kilometer sejam.

Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.

NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid berkenaan akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.

Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu, dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang yang terhempas berkenaan bagi merakamkan imej perlanggaran itu.

Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke bumi pada minggu depan.

Untuk rekod, misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker