Kedai cuci kereta utamakan pelanggan Singapura

Johor Bahru: Sudahlah tiada lesen perniagaan, sebuah kedai mencuci kereta di Taman Pelangi di sini didakwa hanya mengutamakan pelanggan Singapura berbanding pelanggan tempatan.

Seorang penduduk, Adibah Rashid, 43, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha kedai mencuci kereta itu mengutamakan pelanggan negara jiran menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk sekitar bandar raya itu.

Menurutnya, malah kejadian seumpama itu juga bukan perkara baru sejak tambak Johor mula dibuka pada April lalu.

Katanya, sikap tamak segelintir peniaga yang memberi layanan kurang mesra menjejaskan keselesaan pengguna tempatan dikhuatiri menjadi ikutan peniaga lain.



“Ketika pandemik Covid-19, kebanyakan peniaga bergantung sepenuhnya kepada pelanggan tempatan dan tiada soal diskriminasi.

“Mereka sepatutnya menghargai pelanggan tempatan yang memberi sokongan kepada mereka ketika waktu sukar mahupun pada awal fasa pemulihan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahupun persatuan peniaga perlu menasihati kumpulan peniaga supaya mereka memberi layanan sama kepada semua pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata semua peniaga dinasihatkan supaya tidak membezakan pelanggan.



Beliau berkata, apa yang penting peniaga perlu memaparkan tanda harga dan tidak mengenakan caj berbeza kepada warga tempatan dengan warga asing.

“Mereka tidak seharusnya melanggar peraturan ditetapkan malah mereka tidak sepatutnya menolak memberi perkhidmatan kepada pelanggan sama ada tempatan mahupun warga asing.

“Tiada aduan rasmi khusus berkaitan pemilihan pelanggan tertentu saja oleh premis mencuci kenderaan namun pihak kami akan memantau premis mencuci kenderaan itu berkaitan penandaan harga perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata semakan pihaknya mendapati perniagaan kedai cuci kereta yang tular di media sosial tidak berlesen.

“Permohonan lesen tidak diluluskan baru-baru ini kerana kedudukan kedai cuci kereta berkenaan tidak sesuai dan MBJB mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis dan akan mengambil tindakan,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Peniaga India Johor (JIBA) P Siva Kumar, walaupun kemasukan pelancong asing menjana ekonomi Johor namun kos sara hidup semakin meningkat hingga membebankan penduduk berpendapatan rendah.

“Peniaga seharusnya menetapkan harga yang berpatutan supaya penduduk tempatan tidak terjejas,” katanya.

Dalam perkongsian di TikTok, netizen mendakwa sebuah kedai cuci kereta di Taman Pelangi mengutamakan pelanggan warga Singapura.

Pekerja kedai cuci kereta berkenaan yang menolak memberi perkhidmatan kepada pelanggan tempatan dengan menyatakan operasi sudah ditutup pada jam 11 malam namun kemudian dilihat menerima kehadiran pelanggan warga Singapura.

Malah beberapa netizen juga mendakwa selepas jam 9 malam, pengusaha kedai cuci kereta hanya menawarkan perkhidmatan cuci kereta berserta menggilap kereta pada harga RM30 atau lebih.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker