Keuntungan Astro meningkat 13 peratus

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2022 meningkat 13 peratus kepada RM98.47 juta daripada RM87.13 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022.

Perolehan pula susut kepada RM921.12 juta daripada RM1.06 bilion bagi tempoh yang sama.

Menurut Astro, pemulihan sentimen pengguna kekal tidak sekata ekoran tekanan inflasi daripada peristiwa geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.



Oleh yang demikian, peningkatan keuntungan bersih telah didorong oleh langkah disiplin kos, jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Syarikat itu memaklumkan, pihaknya kekal menjana tunai selain bertindak proaktif dalam pengurusan modal di samping mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak satu sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan, berkata pakej TV terbaharu untuk dunia penstriman telah menarik pelanggan baharu dan sedia ada, manakala perniagaan perusahaan Astro mencatatkan lebih banyak langganan dari kedai makanan dan minuman serta hotel, disokong oleh pembukaan semula ekonomi.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada strategi pengagregatan penstriman Astro, pihaknya menambahkan aplikasi beIN SPORTS CONNECT, iQIYI dan TVBAnywhere+ pada Ultra Box dan aplikasi Disney+ Hotstar pada Ulti Box untuk memberikan lebih kemudahan melalui satu platform kepada pelanggan.



“Aplikasi BBC Player dan Zee5 akan menyertai tujuh perkhidmatan penstriman sedia ada kami tidak lama lagi, memperkukuh Astro sebagai destinasi hiburan popular untuk rakyat Malaysia.

“Kami juga memperkenalkan profil berbilang pengguna dan paparan bersaiz kecil serta carian menerusi suara di Astro GO yang membolehkan saranan kandungan diperibadikan secara lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, lebih 670,000 rumah telah mempunyai Ultra dan Ulti Box, yang boleh beroperasi menerusi satelit dan jalur lebar manakala Astro GO mempunyai 524,000 pengguna aktif setiap bulanan dengan purata masa tontonan mingguan melebihi tiga jam.

Tan berkata, rancangan atas permintaan yang distrim juga meningkat 27 peratus secara tahunan kepada 297 juta dan pada suku kedua, pangkalan jalur lebar Astro meningkat sebanyak 40 peratus secara tahunan apabila lebih ramai pelanggan menggabungkan jalur lebar dengan kandungan untuk kemudahan dan nilai.



Beliau berkata, dalam melangkah ke hadapan, pelaburan dalam pelan transformasi Astro sedang dilakukan, menumpukan kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data dan pengiklanan boleh sasar.

“Keadaan makroekonomi termasuk kenaikan kadar faedah, inflasi dan kekukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) serta peristiwa geopolitik global terus memberi kesan ke atas isi rumah dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat mengekalkan unjuran berhati-hati dan terus memantau situasi perniagaan, selain menguruskan kos secara berhemat. – BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button