Lokasi mungkin berlaku air pasang besar terkawal

SHAH ALAM – Beberapa lokasi berpotensi banjir akibat fenomena air pasang besar di kawasan Klang dan Kuala Langat masih terkawal meskipun paras air meningkat kepada 5.3 meter pada pagi Selasa.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan, Skuad Pantas menjalankan pemantauan di beberapa lokasi titik panas bagi meninjau fenomena berkenaan.

Menurutnya, antara lokasi yang dipantau ialah Taman Selat Damai, Pandamaran, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang dan Jeti Nelayan Pengkalan Nelayan Tok Muda di sini.

“Ketinggian paras air maksimum dianggarkan 5.3 meter pada jam 6.52 pagi, namun keadaan masih baik dan terkawal.

“Air tidak melepasi had bahaya pada benteng ban di lokasi dan tiada kejadian ban pecah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Selain itu, MPK dalam hantaran lain turut memaklumkan paras air di Pengkalan Pelabuhan Klang dan Tanjung Harapan masih berada pada tahap selamat dan terkawal.

Dalam perkembangan lain, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi hantaran di Facebook melaporkan Skuad Pantasnya melakukan pemantauan di enam lokaliti berpotensi banjir di daerah tersebut pada jam 6.19 pagi.

“Antaranya ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Bacaan paras air di kesemua lokasi berkenaan direkodkan setinggi 5.3 meter,” katanya.

Menurut MPKL, ketika pemantauan dijalankan tiada pengunjung yang mendekati kawasan-kawasan pantai tersebut.

“Paras air masih lagi terkawal dan masih dalam keadaan selamat.

“MPKL mengingatkan kepada pengunjung-pengunjung agar tidak menjalankan aktiviti pantai atau riadah sehingga Khamis ini berikutan fenomena air pasang besar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker