‘Tahun ini kali ke-18, sambut raya di sebalik tirai besi’

Oleh – Syeikh Baran


'Tahun ini kali ke-18, sambut raya di sebalik tirai besi'
Seorang lelaki tidak pernah menyangka bahawa takdir hidupnya akan berakhir disebalik tirai besi.Gambar hiasan

Seorang lelaki tidak pernah menyangka bahawa takdir hidupnya akan berakhir disebalik tirai besi.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razali (bukan nama sebenar) tidak dapat menyembunyikan kesayuannya apabila terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa insan tersayang di sisinya sejak dimasukkan ke penjara itu pada 2007.

Lelaki berusia 55 tahun itu berkata, tahun ini merupakan kali ke-18 dia menyambut Ramadan dan Syawal di tirai besi selepas didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi selama tiga tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Keluarga dapat tahu saya ditangkap pada bulan puasa, lagi tiga hari nak raya. Saya dapat bayangkan penerimaan mereka masa tahu memang betul-betul kecewa dan sedih lebih-lebih lagi mereka dapat tahu pagi raya yang saya sudah tiga hari kena tangkap sebab tidak dapat hubungi dalam tempoh tersebut.

“Masyarakat juga beri tanggapan buruk kerana saya ditangkap dan mempunyai gelaran banduan sehinggakan anak-anak dan isteri saya terpaksa jual dan pindah ke rumah yang lain.

“Ahli keluarga banyak menyokong dan beri peluang kedua buat saya malah menjadi tulang belakang sepanjang berada di sini. Saya harap mereka tabah dan sentiasa berdoa supaya saya keluar satu hari nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia telah mempersiapkan diri dan mentalnya sejak kali pertama melangkahkan kaki ke penjara itu dan menerima nasib atas kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, tiada yang mahu melalui pengalaman sebagai banduan akhir walaupun ada orang yang sanggup membayar dengan jutaan ringgit sekalipun.

“Saya pernah tengok sendiri kawan baik yang makan sama-sama dengan saya diambil untuk menjalani hukuman gantung dan ia menjadi motivasi dekat diri saya.

“Saya pesan dekat mereka bila saya menjalani hukuman gantung masa ‘special visit’ nanti, atur keluarga mana yang datang, saya nak anak-anak mandikan jenazah dan imamkan solat jenazah saya.

“Jadi banduan akhir ini memang ada tekanan, siapa yang boleh terima kalau hukuman kita ni akan pergi ke tali gantung, bukan semua orang boleh terima,” ujarnya.

Tambah lelaki kelahiran Selangor itu, dia kemudiannya mendapat pengampunan daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 2017 dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat.

Razali berkata, dia mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk mempelajari kemahiran menjahit setelah ditugaskan untuk bekerja di bengkel berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak ada asas dan memang tidak minat menjahit tetapi apabila ditugaskan, saya belajar dan akhirnya sekarang saya dah boleh buat baju.

“Kerja ini memang sinonim dengan perempuan tetapi saya fikir kalau mereka boleh, saya juga boleh dan akhirnya saya juga dah pandai jahit uniform untuk pegawai dan sebagainya malah baru-baru ini pun saya dapat tempahan 30 helai kurta dari luar,” katanya lagi.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker