Noraini serah surat tawaran program SULUNG



Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyerahkan sendiri surat tawaran program SULUNG dan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia kepada salah seorang penerima.

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyerahkan sendiri surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dan surat tawaran kemasukan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Sesi Akademik 2022-2023 kepada dua pelajar bertuah dari selatan tanah air.

Dua pelajar itu ialah Intan Nasuha Md Noh,19, dari Kampung Parit Lapis Maimon, Parit Sulong dan Nurul Aishah Mohd Dani,19, dari Kampung Parit Bagan, Muar.



Intan ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan, manakala Nurul Aishah mendapat tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UKM.

Melalui hantaran di laman Facebooknya, Noraini berkata, program SULUNG merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diperkenalkan bagi membantu generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga belajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Inisiatif ini fokus kepada usaha membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejak kaki ke menara gading,” katanya.

Antara bantuan yang diterima pelajar melalui program SULUNG adalah laluan khusus ke universiti awam, tawaran biasiswa, kemudahan penginapan asrama dan mentoring sehingga mendapat pekerjaan.



Melalui program itu, KPT juga menyediakan tempat kepada penerima sama ada di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Selain itu, KPT turut menyediakan bantuan dalam bentuk lain seperti pelan data internet dan pengurangan yuran pengajian.

Turut hadir pada majlis penyerahan surat tawaran itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil serta pegawai-pegawai UKM.

Noraini juga berkata, pelajar bukan sahaja ditawarkan laluan khusus kemasukan ke universiti awam tetapi turut ditawarkan biasiswa dan diberikan panduan (mentoring) sehingga mereka berjaya mendapatkan pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.



 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker