Pemimpin DAP enggan ulas kritikan Ronnie Liu



Pemimpin DAP enggan mengulas kritikan seorang ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) terhadap tindakan parti itu meminda perlembagaannya.

Pada Ahad, DAP meluluskan usul untuk meminda perlembagaan partinya supaya wakil rakyat yang tidak mengikut arahan parti dalam isu asas secara automatik akan kehilangan keahlian mereka.

Bagaimanapun, semalam, ahli CEC, Ronnie Liu berkata, keputusan itu menunjukkan DAP mungkin tidak lagi demokratik, sambil menambah hanya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh menyelamatkan parti itu daripada “merosot menjadi entiti yang tidak demokratik”.

Apabila dihubungi, beberapa pemimpin parti enggan memberikan sebarang komen mengenai kenyataan Liu.



“Dapatkan komen daripada Loke,” kata seorang ahli CEC kepada FMT, merujuk kepada Setiausaha Agung Parti, Loke Siew Fook.

Seorang lagi ahli CEC berkata, beliau “tiada komen”, manakala pemimpin lain hanya membaca mesej yang dihantar, tanpa membalasnya.

FMT telah menghubungi Loke untuk mendapatkan komen.

DAP bertindak meminda perlembagaannya untuk melindungi parti itu daripada “kelompongan” dalam undang-undang anti-lompat, yang tidak mengkehendaki Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mengosongkan kerusi mereka.



Loke berkata, parti itu akan memfailkan permohonan dengan JPPM untuk mengemas kini perlembagaan parti, berharap pindaan itu dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Dalam catatan di Facebook, Liu berkata, jika pindaan itu telah dilaksanakan pada masa lalu, beliau sudah pun disingkirkan daripada parti memandangkan beliau lantang mengenai pelbagai isu, seperti kepimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, penahanan 12 individu berhubung kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

ADUN Sungai Pelek itu berkata, dengan pindaan itu, CEC berhak mengeluarkan sebarang arahan yang menyasarkan mana-mana wakil rakyat.

“Semoga Tuhan selamatkan DAP,” katanya.



© Free Malaysia Today 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker