Tak mudah padam gambar, video lucah kanak-kanak di internet

Polis siasat dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri

Kuala Lumpur: Peningkatan akses kanak-kanak terhadap telefon pintar dan internet dibimbangi akan menyebabkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tidak membabitkan sentuhan fizikal seperti penyebaran video dan gambar lucah semakin serius pada masa hadapan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya kini kerap menerima laporan mengenai penyebaran gambar dan video lucah membabitkan mangsa kanak-kanak.

Beliau berkata, faktor pendorong seperti kemajuan teknologi maklumat, gaya hidup dan Internet membuatkan jenayah mudah berlaku, tambahan pula kanak-kanak kini mempunyai akses yang meluas terhadap telefon bimbit dan Internet.

“Melalui dalam talian pemangsa akan menjalinkan ‘hubungan istimewa’ dan kemudian meminta gambar dan video bogel mangsa, video dan gambar ini akan tersebar apabila mangsa tidak lagi mahu meneruskan hubungan berkenaan.

“Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video bogel dan lucah ini saya jangka akan menjadi trend pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Siti Kamsiah berkata, pada 2020, pihaknya menerima 24 laporan polis membabitkan jenayah itu yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dan tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 35, manakala sebanyak 11 laporan polis diterima dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Untuk memadamkan sesuatu gambar atau video lucah kanak-kanak yang sudah disebarkan di internet bukan kerja yang mudah kerana hal ini membabitkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Antarabangsa (Interpol).

“Gambar dan video ini terlebih dahulu akan dimasukkan dalam sistem Interpol dan satu pemberitahuan akan dikeluarkan kepada negara-negara yang berkongsi sistem berkenaan untuk mengesan sekiranya ada penularan gambar atau video berkenaan di negara mereka, jika ada ia perlu diturunkan,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada pentadbir media-media sosial untuk turunkan gambar atau video berkenaan sekiranya ada, namun bergantung kepada penilaian pentadbir.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat laporan terus kepada Internet Watch Foundation iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa.

“Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu mengenai keselamatan ketika bersosial atau berkawan sebagai persediaan untuk mengelakkan anak-anak mereka menjadi mangsa jenayah itu.

“Kita perlu mengajar anak-anak adab bergaul, batas-batas pergaulan, apa yang boleh dikongsi, apa yang tidak boleh dikongsi seperti hal peribadi, tubuh badan. Pemantauan oleh ibu bapa juga penting dan anak itu sendiri perlu mempunyai kawalan kendiri untuk mengelak dia daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan satu isu yang kecil kerana di negara ini hampir 60 peratus mangsa jenayah seksual ialah golongan itu.

Menurut data yang diperoleh pada 2020, sebanyak 4,274 mangsa jenayah seksual antaranya membabitkan kes seperti rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan dengan 2,567 daripadanya adalah mangsa kanak-kanak.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker