UPM juara keseluruhan SUKUM Ke-44

Kontinjen UPM muncul juara keseluruhan SUKUM Ke-44 dengan mengutip 18 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa,

Oleh Rohana Man

SERDANG – Berbekalkan 18 pingat emas, 19 perak dan 15 gangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali ke-44 pada tahun ini.



Ini kali pertama UPM berjaya menjadi juara dan kejayaan yang diraih itu membanggakan seluruh warga kampus universiti berkenaan.

Kejayaan itu sekali gus mencapai sasaran UPM yang meletakkan kedudukan lima pasukan terbaik daripada 21 pasukan universiti yang bertanding.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, beliau berbangga dengan pencapaian staf atlet universiti itu yang telah bekerja keras menjalani latihan sehingga berjaya melayakkan UPM menjadi juara keseluruhan SUKUM Ke-44.

“Ini kali pertama UPM berjaya menjadi juara dan saya berterima kasih kepada seluruh warga kampus terutama staf atlet UPM dan sukarelawan yang membantu menjayakan penganjuran SUKUM di kampus universiti ini” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.



SUKUM Ke-44 diwakili 335 atlet staf dan 53 pegawai UPM. Temasya sukan staf institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu berlangsung pada 17 hingga 24 September lalu di UPM yang bertindak sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Diadakan selama lapan hari, SUKUM Ke-44 mempertandingkan sebanyak 18 acara sukan dan menawarkan sebanyak 136 pingat emas, 136 pingat perak dan 196 pingat gangsa dengan penyertaan kira-kira 5,000 peserta IPTA seluruh negara.

Pada temasya tahun ini, tempat kedua jatuh kepada pasukan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan pungutan 17 emas, 15 perak dan 19 gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kutipan 16 pingat emas dan masing-masing 11 pingat perak dan gangsa.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Roslan berkata, penganjuran SUKUM Ke-44 adalah sebagai wadah untuk merapatkan hubungan dan kekeluargaan sesama institusi pengajian tinggi dalam negara melalui sukan serta mengangkat budaya sukan di institusi masing-masing.



“Saya percaya melalui acara sukan seperti SUKUM, kita akan dapat meningkatkan lagi daya tahan mental dan fizikal sumber manusia, selain berupaya meningkatkan indeks kesejahteraan dalam kalangan staf IPTA,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button