Berjalan kaki banyak manfaat khususnya untuk wanita

Berjalan kaki dengan laju tidak semestinya hanya di taman untuk riadah.

Kita juga boleh menjadikan rutin harian berjalan kaki seperti berjalan pergi ke kedai, keluar makan ketika waktu rehat pejabat dan sebagainya.

Secara tidak langsung kita akan dapat banyak manfaat daripada berjalan kaki ini. Cubalah untuk mengamalkannya.

Ramai yang beranggapan senaman di gimnasium saja sudah memadai untuk mendapatkan badan yang sihat serta cergas.

Tanggapan sedemikian menenggelamkan satu lagi amalan senaman yang bukan saja mudah dibuat, tetapi tidak membabitkan sebarang kos.

Menurut Pakar Otak dan Kesihatan, Dr Rizal Abu Bakar, berjalan laju bukan untuk kurus. Tapi untuk sihat. Yang kurus pun tak semestinya sihat.

Ujarnya, dirinya mengamalkan berjalan laju kerana ada kajian mengatakan :-

1. Berjalan 75 minit seminggu boleh panjang umur. Dua tahun umur bertambah. Tu seminggu. Kalau sehari macam mana agaknya?

2. Berjalan 40 minit tiga kali seminggu tingkat kemampuan memori. Jadi kalau selalu lupa-lupa, rajin-rajinlah berjalan.

3. Berjalan 30 minit sehari kurangkan risiko terkena depression sebanyak 36 peratus. Ni kaedah mencegah yang baik.

Kajian juga ada sebut berjalan sama efektif dengan ambil ‘anti depressant’. Tak ada kesan sampingan pula tu.

4. Berjalan 60 minit sehari turunkan obesiti sebanyak 50 peratus. Tapi bukan jalan lenggang kangkung macam pergi pasar malam.

Ni berjalan laju. Macam dah lambat masuk meeting. Macam nak terkucil laju ke tandas.

Boleh start perlahan-lahan. Kalau ada anak kecil, letak dalam ‘stroller’. Boleh tolak dan dapat manfaat sekali berjalan ni.

Sementara itu, ini keistimewaan aktiviti atau senaman berjalan kaki laju yang memberi lebih banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan berbanding berjalan kaki secara santai, antaranya;

1. Berat badan stabil

Amalan berjalan kaki laju juga meningkatkan metabolisma tubuh. Selain sejumlah kalori terbuang, lebih banyak lagi kalori akan terbakar apabila metabolisma tubuh meningkat sehingga peningkatan berat badan sukar berlaku.

2. Menurunkan berat badan

Selain mampu menstabilkan berat badan, mereka yang mengalami pertambahan berat badan disarankan supaya melakukan senaman berjalan kaki laju secara rutin.

3. Risiko elak serangan jantung

Seperti yang kita semua tahu, otot jantung memerlukan aliran darah lebih deras supaya ia sentiasa berfungsi dengan normal. Justeru, berjalan kaki laju mempercepatkan aliran darah ke dalam koroner jantung.

Selain itu, kelenturan pembuluh darah menguncup dan mengembang ketika berjalan laju juga cenderung menyebabkan tekanan darah menjadi lebih rendah selain dapat mengurangkan risiko berlakunya darah beku di pembuluh darah ke jantung.

4. Angin ahmar atau strok

Walaupun masih tiada bukti kukuh mampu mengaitkan senaman berjalan kaki laju dengan strok namun kajian dilakukan terhadap 70,000 pesakit di Sekolah Kesihatan Awam Harvard, Amerika Syarikat, yang sering berjalan kaki iaitu purata 20 jam seminggu, risiko mereka diserang strok menurun sebanyak 2 daripada 3 kes.

5. Mencegah kencing manis

Dengan membiasakan berjalan kaki laju sekitar enam kilometer sejam dipercayai mampu mencegah masalah diabetes Tahap dua terutama di kalangan individu bertubuh gempal. (Sumber: Institut Diabetes dan Masalah Hati Kebangsaan).

Gula di dalam darah juga dapat dikawal dengan cara berjalan kaki (brisk walking), justeru ubat tidak diperlukan. Ia bermakna, berjalan kaki laju sama manfaatnya dengan mengambil ubat anti diabetes.

6. Mencegah osteoporosis

Pergerakan badan yang aktif dan berjalan kaki laju boleh memperkuatkan otot badan serta tulang. Individu yang sering melakukan senaman dan cukup sumber kalsium di dalam badan boleh terhindar daripada ancaman kereputan tulang sehingga usia 70 tahun.

7. Meredakan sakit lutut

Lebih sepertiga mereka yang lanjut usia di Amerika Syarikat mengalami masalah sakit lutut atau osteoarthiris. Dengan membiasakan diri berjalan laju atau berjalan di dalam kolam renang mampu meredakan masalah itu.

Bagaimanapun, untuk penghidap osteoarthiris, mereka disarankan melakukan senaman berjalan kaki berselang-seli supaya sendi tidak terjejas.

8. Tekanan

Pergerakan badan terjadi ketika berjalan kaki laju juga sebenarnya dapat membantu pesakit yang mengalami tekanan perasaan.

Berjalan kaki laju dapat menggantikan ubat anti tekanan yang harus diambil secara rutin.

Kajian terhadap kaitan antara masalah tekanan perasaan dan berjalan kaki sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

9. Kanser

Pembunuh nombor satu ini dikatakan mampu dijauhkan jika anda rajin berjalan kaki, setidak-tidaknya kanser usus besar.

Seperti yang anda semua maklum, pergerakan badan membantu melancarkan penghadaman usus.

Kajian juga ada menyebut mengenai peranan berjalan kaki di dalam mengurangkan risiko terkena kanser payudara.

Tip jalan laju :-

  • Pilih kasut yang dapat lindungi dan jadikan kaki selesa.
  • Lokasi sesuai seperti tempat atau padang rata.
  • Langkah betul – Buat langkah sebesar mungkin bagi pergerakan lebih laju.
  • Gerakkan lengan ketika berjalan.
  • Sematkan dalam minda yang anda sedang mengejar sesuatu.
  • Tingkatkan kelajuan langkah serta tempoh senaman.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker