Farm Fresh komited bekalkan susu UHT tanpa krim kepada 394,000 murid

KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd (Farm Fresh) membekalkan susu untuk tiga zon di Semenanjung membabitkan 3,560 sekolah di sembilan negeri bagi Program Susu Sekolah (PSS) Kementerian Pendidikan (KPM), bermula April lalu sehingga Mac tahun depan.

Pembekalan susu Farm Fresh UHT 200 mililiter (ml) tanpa perisa penuh krim dengan jenama Yarra itu memberi manfaat kepada 394,000 murid dengan 75 juta kotak susu sepanjang program di Zon 3 iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Zon 4 (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan Zon 6 (Negeri Sembilan, Melaka, Johor).

Farm Fresh dalam satu kenyataan, memaklumkan dalam kontrak perbekalan susu sekolah, KPM menyatakan obligasi syarikat agar melaksanakan aktiviti pendidikan untuk menggalakkan pengambilan susu tanpa perisa penuh krim dalam kalangan kanak-kanak seperti kempen gaya hidup sihat dan sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia.



“Selain itu, inisiatif kempen mengenai amalan ‘persekitaran hijau’ juga perlu dilaksanakan syarikat. Ia satu usaha bersama pihak swasta dan kerajaan bagi memberikan manfaat kesihatan kepada murid.

“Farm Fresh menyahut baik saranan itu dengan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bersempena PSS, antaranya Siri Jelajah Generasi Farm Fresh untuk 20 sekolah dengan menyampaikan input positif melalui pendidikan kebaikan minum susu, pemberian susu dan majalah Kuntum secara percuma serta amalan Kitar Semula Tetra Pak,” katanya.

PSS dilaksanakan serentak dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sejak tahun 1983.

Pembekalan susu sekolah itu membabitkan hampir keseluruhan sekolah rendah di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.



Pada tahun 2022, bantuan itu diberikan kepada murid daripada keluarga miskin tegar mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2019 dengan pendapatan isi rumah bawah RM1,169 atau perkapita RM310, murid pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan murid di sekolah Orang Asli/Penan.

Bagi kalendar akademik persekolahan tahun 2022/2023, program itu ditambah baik dari segi pengoperasiannya dengan membekalkan susu setiap hari persekolahan dan susu yang dibekalkan adalah susu UHT tanpa perisa penuh krim menggantikan susu berperisa coklat.

Mengulas lanjut, Farm Fresh menerusi inisiatif program CSRnya dengan Siri Jelajah Farm Fresh yang dilaksanakan bersama-sama murid selama dua jam.

Antara pengisian program adalah aktiviti permainan dalam bentuk pendidikan, selain murid turut menikmati susu percuma versi susu Farm Fresh Warner yang terbaharu.



“Program jelajahan ini bermula Julai lalu dan tamat pada Isnin lalu di Kedah.

“Acara penutup meriah dengan Majlis Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia anjuran Farm Fresh mendapat kerjasama KPM yang diadakan di Sungai Petani Kedah, semalam,” katanya.

Majlis sambutan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut dihadiri Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

“Hari Susu Sekolah Sedunia adalah sambutan yang diadakan di seluruh dunia pada Rabu terakhir dalam September setiap tahun,” katanya.



Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia kali ini turut menerima kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Jabatan Pendidikan Daerah Negeri Kedah telah menganjurkan beberapa pertandingan serta penganugerahan yang ditaja Farm Fresh.

Antaranya adalah Anugerah Sekolah Contoh Terbaik Pengurusan Program RMT dan Program Susu Sekolah (peringkat kebangsaan).

“Objektif utama pertandingan ini adalah bagi menggalakkan pengurusan RMT di sekolah dilaksanakan dengan lebih efektif dan cemerlang serta pengurusan susu sekolah dibuat dengan lebih baik bagi memastikan murid mendapat bekalan secukupnya dengan selamat.

“Turut dianjurkan, Pertandingan Rekacipta dan Inovasi menggunakan kotak Farm Fresh (peringkat Kedah) yang membawa objektif utama untuk menonjolkan kreativiti pelajar bagi menghasilkan satu inovasi menggunakan kotak susu Farm Fresh dengan elemen bunyi, cahaya dan pergerakan.



“Turut diadakan Pertandingan Memasak Pastri (peringkat daerah Kuala Muda Yan) bagi mencungkil bakat pelajar dalam pelbagai bidang.

“Pertandingan ini menggunakan susu Farm Fresh untuk membuat pelbagai jenis pastri dengan kreatif,” menurut kenyataan itu.

Kesemua pemenang menerima sumbangan secara tunai dan hadiah sampingan lain.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button