Godam web judi dalam talian

Kuala Lumpur: Bukan bakti sia-sia, sebaliknya kumpulan penggodam Malaysia pernah menggodam laman web judi dalam talian sebagai usaha membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkaitan.

Pencerobohan ke atas sistem komputer sindiket itu dilaksana dengan niat mahu memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya, selain menjaga kerukunan negara tercinta.

Bagaimanapun, kata komuniti itu yang aktif sejak 2010, tiada usaha penggodaman yang disifatkan benar-benar berjaya apabila laman web judi berkenaan didapati beroperasi semula selepas lumpuh seketika.

Berkongsi maklumat di aplikasi TikTok, mereka mendakwa sudah menggodam lebih 20 laman web judi dalam talian sejak bulan lalu selepas menerima aduan daripada orang ramai.

“Nak godam laman web perjudian bukan mudah, ada ribuan laman web, tetapi team (pasukan) kami pernah godam.

“Ada pelbagai kaedah nak godam, tetapi ia jadi sukar kerana kebanyakan laman web perjudian ini tidak menggunakan alamat protokol internet (IP Address) yang sebenar,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan pengoperasian semula sindiket perjudian dalam talian di sekitar Lembah Klang, menggunakan modus operandi baharu iaitu membekalkan peranti mudah alih seperti tablet dan komputer riba kepada kaki judi.

Langkah itu membolehkan pelanggan melakukan pertaruhan judi di mana-mana sahaja mereka berada sekali gus mengelak sindiket diserbu polis ketika sedang beroperasi.

Mengulas lanjut, penggodam Malaysia memberitahu mereka masih berupaya menembusi sistem komputer web perjudian walaupun dilapisi ciri keselamatan dan menggunakan perantara seperti CloudFlare.

“Penggodam membawa turun laman web berkenaan secara serangan Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS) bertujuan merosakkannya.

“Namun web perjudian ini akan beroperasi semula menggunakan domain berbeza,” katanya yang memaklumkan server terletak di luar negara juga membolehkan sindiket perjudian dalam talian menggunakan pelbagai domain dan mencipta semula laman web berkenaan.

Difahamkan, ketika ini beberapa komuniti penggodam seperti Whitehat, Dragon Force, White Mask, Local Host dan EliteGhost aktif menggodam laman web yang tidak bertanggungjawab demi menjaga keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, komuniti itu mengaku terbabit dalam serangan siber dinamakan ‘Ops Bedil’ yang menyasarkan laman web kerajaan Israel sebagai tanda protes terhadap serangan ke atas Palestin, manakala ‘Ops India’ kerana penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker