Bunga Isme menambat hati peminat

SENTIASA tampil berbeza dari sudut muzik, penampilan dan perspektif pendapat berkaitan industri seni, nama Bunga Isme nampaknya semakin mudah menambat hati peminat.

Tidak hanya itu, karya dendangannya kini juga mendapat tempat sehingga layak mengisi sebagai calon dalam dua kategori di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

Berkesempatan bersua muka dengan penyanyi berusia 22 tahun ini, dia berkongsi mengenai perasaan dan harapannya selepas diumumkan tercalon dalam anugerah muzik terbesar negara itu.

“Alhamdulillah, dalam AIM kali ini, lagu dendangan saya iaitu Intan Payung dan Amaran tercalon dalam dua kategori. Ini satu pengalaman baharu buat saya sebagai pendatang baharu.

“Saya sendiri tak pernah menyangka akan melalui pengalaman ini memandangkan ketika AIM terdahulu berlangsung, saya masih kanak-kanak. Kali ini, saya sendiri terbabit secara langsung,” katanya.

Dua lagu itu adalah Intan Payung dendangan bersama Noraniza Idris yang berjaya berada dalam senarai Top 5 kategori Lagu Pop/Etnik Terbaik dan Amaran bersama Siti Nordiana berjaya tercalon dalam kategori Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik.

“Saya sendiri pun tak menjangkakan apa-apa kerana saya fikir, saya dijemput ke sesi sidang media untuk memeriahkan suasana sahaja. Tak sangka pula tercalon.

“Kedua-duanya adalah karya berbeza dan masing-masing memiliki kekuatan tersendiri. Saya harap, Kak Ani (Noraniza) dan Kak Nana (Siti Nordiana) akan turut bergembira dengan pencalonan ini.

“Mereka adalah penyumbang utama dalam kedua-dua karya ini. Terima kasih juga kepada pihak AIM23 yang sudi memberi peluang kepada saya untuk terbabit sama,” katanya.

Berkongsi mengenai harapannya untuk menggondol anugerah, Bunga menyerahkan soal rezeki kepada Tuhan.

“Saya tak letakkan harapan yang terlalu tinggi. Melangkah sebagai Top 5 pun sudah cukup membuatkan saya bersyukur. Kalau menang, Alhamdulillah sebab rezeki itu di tangan Tuhan,” katanya.

Menurutnya, dia menjadikan kehadiran semula AIM itu sebagai pembakar semangat buatnya selaku pemuzik generasi baharu.

“Ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada saya dan pemuzik lain untuk memperbanyakkan lagi karya-karya berkualiti memandangkan kita semua dah tahu bahawa AIM diwujudkan semula.

“Seperti yang ramai tahu, saya juga ada lagu berbahasa Cina. Siapa tahu, kalau-kalau lagu seperti itu boleh saya ketengahkan lagi di mana akan datang dan tercalon dalam kategori yang sesuai,” katanya.

Menempa nama sebagai penyanyi rap, Bunga juga tidak lari daripada terpalit dengan kontroversi apabila baru-baru ini, didakwa mula menunjukkan sikap sombong dengan media.

Bunga bagaimanapun tampil membetulkan keadaan dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku berikutan statusnya sebagai pemuzik dan pelajar.

“Bukan sombong atau angkuh, tapi saya perlu menghormati syarikat pengurusan dan label saya iaitu Warner Music Malaysia. Apa-apa urusan berkaitan kerja, perlu melalui mereka.

“Bagi saya, masing-masing perlu hormat masa masing-masing. Saya bukan tak mahu menjawab, tetapi, saya pemuzik yang pada masa sama, bergelar pelajar.

“Jadi, jadual saya tidak sama seperti orang lain,” katanya.

Kesempatan menemubual Bunga juga membawa kepada persoalan mengenai fasa perkahwinan dalam kehidupannya memandangkan dia kini sedang hangat bercinta dengan penyanyi, Amzar Sabri.

“Mungkin tiga tahun dari sekarang. Tapi, bukanlah bererti kami akan berkahwin dalam tempoh tiga tahun dari sekarang. Maksud saya, rangka dan perancangan ke arah itu.

“Sekarang, saya masih lagi belajar dan baru berusia 22 tahun. Ada banyak lagi benda saya nak teroka dan belajar. Begitu juga dengan Amzar, yang sibuk dengan kerja dan mencari rezeki.

“Alhamdulillah, keluarga kami pun tidak menekan-nekan soal perkahwinan kerana mereka faham. Insya-Allah, kalau ada perancangan untuk berkahwin, kami takkan bertunang, tapi, akan terus berkahwin,” katanya.

Terbaharu, Bunga kini dalam proses untuk menghasilkan album dan akan menampilkan tujuh lagi baharu, serta lagu-lagu popularnya seperti Belai, Intan Payung dan Mereng.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker