Kerajaan dijangka raih tambahan RM21 bilion hasil minyak

KUALA LUMPUR: Kedudukan harga minyak mentah dunia yang kekal tinggi ketika ini dijangka meningkatkan pendapatan kerajaan antara RM13 bilion hingga RM21 bilion, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Bank pelaburan itu berkata, analisis sensitiviti yang dijalankannya menunjukkan setiap kenaikan AS$10 setong dalam purata harga minyak mentah tahunan akan meningkatkan pendapatan bercukai kerajaan RM4 bilion.

“Ini akan membayangkan rangsangan hasil tambahan antara RM13 bilion hingga RM21 bilion kepada kerajaan memandangkan harga minyak mentah rasmi semasa adalah antara AS$100 hingga AS$120 satu tong yang lebih tinggi berbanding anggaran dalam Bajet 2022 iaitu AS$67 satu tong.

“Mengambil titik tengah hasil cukai minyak dan gas (O&G) tambahan iaitu RM17 bilion daripada unjuran harga minyak mentah lebih tinggi berbanding unjuran asal Bajet 2022, ditambah dengan tambahan RM25 bilion dalam dividen PETRONAS kepada kerajaan, bermakna tambahan hasil berkaitan O&G sebanyak RM42 bilion kepada kerajaan,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.



Maybank IB menjangkakan pendapatan kerajaan yang lebih tinggi tahun ini disokong kesan positif harga komoditi lebih tinggi terutama hasil berkaitan O&G.

Ia berikutan pengumuman PETRONAS mengenai dividen tambahan RM25 bilion kepada kerajaan, selain dividen RM25 bilion yang menjadikan angka keseluruhan RM50 bilion, jumlah kedua tertinggi selepas pembayaran tertinggi RM54 bilion pada 2019.

Menurut Maybank IB, setakat tujuh bulan tahun ini, hasil kerajaan meningkat 21.3 peratus kepada RM148.4 bilion, 8.3 peratus lebih tinggi berbanding RM122.4 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, manakala setahun penuh 2021 adalah RM233.8 bilion.

“Ia adalah 63.4 peratus lebih daripada unjuran Bajet 2022 sebanyak RM234 bilion, menjangkaui kadar rata ringkas 58.3 peratus,” katanya.



Dari aspek perbelanjaan, bank pelaburan itu menjelaskan, jumlah sebenar untuk tahun ini akan lebih tinggi terutama disebabkan angka subsidi lebih besar sebanyak RM77.7 bilion yang dianggarkan daripada peruntukan kerajaan berbanding Bajet 2022 iaitu RM31 bilion, dengan kos subsidi bahan api berjumlah RM41.7 bilion.

“Untuk menguruskan perbelanjaan keseluruhan tahun ini, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan pekeliling bertarikh 14 Julai 2022 yang mengarahkan kementerian, agensi dan jabatan untuk mengurangkan perbelanjaan mengurus sebanyak lima peratus sepanjang tahun terutama dalam bidang seperti perbelanjaan mengurus (contoh utiliti, elaun lebih masa, pertukaran luar bandar, penginapan dalam dan luar negara, penganjuran acara, pengiklanan dan penyumberan luar), pelantikan, penyusunan semula organisasi/penubuhan badan berkanun dan pemerolehan aset baharu,” katanya.

Justeru, katanya, 90 peratus daripada perbelanjaan mengurus tambahan akibat peningkatan jumlah subsidi dibiayai oleh hasil tambahan berkaitan O&G.

“Baki 10 peratus atau RM4.7 bilion hendaklah dilindungi oleh langkah cukai Bajet 2022 seperti Cukai Makmur yang mana dijangka menyaksikan kerajaan memperoleh pendapatan tambahan RM4 bilion, selain arahan penjimatan perbelanjaan yang diumumkan kerajaan,” katanya.

Maybank IB berkata, defisit belanjawan pada tujuh bulan 2022 ialah RM47.8 bilion, iaitu 49 peratus daripada unjuran defisit dalam Bajet 2022 iaitu RM97.5 bilion.

“Unjuran bajet defisit dalam Bajet 2022 iaitu 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu dicapai, disokong sebahagian besar sebahagian besarnya oleh perbelanjaan mengurus subsidi yang lebih tinggi daripada belanjawan sepatutnya yang dilindungi sepenuhnya oleh kenaikan hasil yang didorong oleh harga komoditi lebih tinggi,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker